Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Pelancaran Smart and Green Classroom (Bilik Darjah Pintar dan Hijau) merupakan satu detik signifikan bukan sahaja bagi Kementerian Pendidikan, malah Negara Brunei Darussalam dalam komitmennya menjadi sebuah negara pintar dan mampan.
Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad dalam ucapan alu-aluan pada Majlis Pelancaran Smart and Green Classroom bagi Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna (SMPAPHM) dan Sekolah Menengah Lambak Kiri (SMLK) yang berlangsung di SMPAPHM, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelancaran berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Turut hadir pada majlis itu ialah Duta Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo; Pengarah Urusan Huawei International Pte Ltd, Frank Guo Hanxin mewakili Syarikat Huawei Technologies (B) Sdn Bhd; setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pengarah-pengarah serta pegawai-pegawai kanan daripada kementerian-kementerian, agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta yang berkaitan.
Dr Haji Azman berkata projek berkenaan dilaksanakan melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Syarikat Huawei Technologies Sdn Bhd, menggabungkan transformasi digital dan kemampanan di dua buah sekolah berkenaan.
Beliau menjelaskan kedua-dua sekolah berkenaan telah disediakan satu bilik darjah pintar yang merangkumi satu sistem panel interaktif dan dijana melalui 40 panel solar.
“Ia membuka ruang bagi sesi pengajaran dan pembelajaran secara interaktif yang berasaskan teknologi, serta mengurangkan kebergantungan sekolah kepada sumber tenaga konvensional.”
Melalui penggunaan teknologi-teknologi itu, tambahnya, satu ruang pembelajaran berinovasi telah diwujudkan yang mendukung pembelajaran hibrid dan pedagogi digital serta pembangunan warganegara digital.
“Usaha ini adalah selaras dengan Pelan Transformasi Digital Kementerian Pendidikan, khususnya dalam memperkasa teknologi pendidikan di sekolah-sekolah, sejajar dengan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21,” tambahnya.
Dr Haji Azman berkata penyediaan panel solar berkenaan dijangkakan untuk menjana tenaga elektrik lebih daripada 22,000 kilowatt-jam, setahun di mana bersamaan dengan pengurangan lebih 10 tan pelepasan gas karbon dioksida setahun atau penanaman sebanyak 500 batang pokok.
“Justeru, bilik-bilik darjah ini bukan sahaja merupakan lonjakan ke hadapan dalam pengajaran dan pembelajaran abad ke-21, malah ianya adalah satu usaha kukuh dalam mendukung penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui.”
Majlis diteruskan dengan pelancaran Smart and Green Classroom oleh Yang Berhormat Datin. Majlis turut menyaksikan demonstrasi berkaitan dengan penggunaan teknologi pendidikan iaitu Solar Panel Dashboard dan Remote Teaching and Learning.
Projek itu merupakan hasil kerjasama di bawah inisiatif Perkongsian Awam-Swasta (PPP) antara Kementerian Pendidikan dan Syarikat Huawei Technologies (B) Sdn Bhd.
Projek yang dilaksanakan itu bertujuan untuk menyediakan sebuah bilik darjah yang dilengkapi dengan teknologi pintar yang dijana melalui tenaga suria di setiap sekolah yang terpilih.
Usaha itu adalah sejajar dengan Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP), khususnya Strategi 4: Tenaga Boleh Diperbaharui, iaitu untuk meningkatkan jumlah bahagian tenaga diperbaharui kepada sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah kapasiti dalam campuran penjanaan kuasa menjelang 2035 serta Strategi 10: Kesedaran dan Pendidikan, iaitu bagi meningkatkan kesedaran dan pendidikan yang berkaitan mitigasi serta adaptasi terhadap perubahan iklim.