Gambar Xinhua
GAZA – Mempelajari sains telah menjadi lebih mudah bagi Shahd Jundiya, seorang pelajar Palestin berusia 11 tahun yang tinggal di Semenanjung Gaza, sejak dia mula menghadiri kelas di bilik darjah realiti maya (VR) sekolahnya.
“Sebelum ini, saya perlu meluangkan berjam-jam untuk mata pelajaran matematik, sains, kejuruteraan dan Bahasa Arab untuk berada pada tahap lanjutan dalam kelas saya,” kata pelajar Tahun 5 itu kepada Xinhua.
Keadaannya telah berubah sejak dia mulai mengambil pelajaran yang diajar dengan teknologi realiti maya (VR). “Saya dapat mengakses VR setiap mata pelajaran, yang membolehkan saya memahami dengan lebih baik dan mengingati semua konfigurasi dan kombinasinya.”
Rakan sekelasnya, Leen al-Louh, mempunyai pandangan yang serupa.
“Dengan bilik darjah VR, saya dapat menyentuh sel-sel haiwan dan belajar tentang komposisi kimia dan fungsi istimewanya,” kata al-Louh.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P19-1a-Gaza-VR-Bestari_05042023.jpg)
“Matematik dan kejuruteraan adalah antara mata pelajaran paling sukar yang saya pelajari semasa tahun akademik saya, tetapi ia kini nampak menarik kepada saya,” tambahnya.
Kedua-dua Jundiya dan al-Louh adalah antara 500 pelajar sekolah al-Basma di Gaza yang telah mempelajari seluruh kurikulum dalam bilik darjah VR yang baru diperkenalkan ke kawasan pinggir pantai yang miskin itu.
Pembelajaran lebih efektif
Bilik darjah tersebut menggunakan grafik 3D untuk menggambarkan konsep dalam satu-satu mata pelajaran. Dalam kelas matematik, pelajar dapat ‘menyentuh’ segi empat, segi tiga, atau bentuk-bentuk geometri lain untuk memahami perbezaan mereka dengan lebih baik.
“Bilik darjah VR adalah yang pertama di wilayah Palestin. Matlamat utamanya adalah untuk membina model simulasi di mana pelajar dapat terlibat dalam sains masa depan, dan pada masa yang sama membolehkan mereka mempelajari dan memahami kurikulum dengan cara yang lebih praktikal,” kata Ahmed al-Natour, pengarah perhubungan awam di sekolah tersebut, kepada Xinhua.
Menurutnya, berbanding dengan bilik darjah biasa, bilik darjah VR membolehkan pelajar menimba ilmu pengetahuan dengan lebih efektif.
Selain itu, bilik darjah VR dengan menggambarkan konsep abstrak dalam kurikulum mereka membantu pelajar memahaminya dengan lebih cepat dan mudah, serta memupuk pemikiran kreatif mereka, tambahnya.
“Kami ingin budaya bilik darjah VR berkembang di sekolah-sekolah Palestin, yang akan memberikan sumbangan besar untuk membawa pelajar Palestin ke dunia kecerdasan buatan (AI) dan sains masa depan,” tambah al-Natour.
Ibu bapa pelajar-pelajar ini juga mengalu-alukan kemajuan akademik anak-anak mereka serta cara mata pelajaran diajar melalui teknologi VR, yang telah menjadi popular dalam kalangan pelajar.
“Anak saya kini lebih berminat menyiapkan kerja sekolahnya dan mengulang kaji di rumah sahaja tanpa bantuan kami. Dia dapat menerangkan kepada kami butiran molekul kimia tanpa kami menghabiskan berjam-jam untuk membantunya mengingat kembali konsep yang sukar,” kata Safaa Shureiteh, ibu kepada salah seorang pelajar.
Ibu kepada empat orang anak berusia 36 tahun itu berharap bahawa kawasan pesisir pantai ini dapat mempunyai lebih banyak bilik darjah VR supaya semua pelajar tempatan dapat merasai ‘pengalaman (pembelajaran) yang luar biasa’ tersebut dan membesar menjadi ‘pencipta masa depan’ suatu hari nanti. – Xinhua