KUCHING, 30 Jan – Bilik Operasi Bencana di semua bahagian di Sarawak bersedia untuk diaktifkan pada bila-bila masa susulan notis amaran cuaca peringkat kuning Jabatan Meteorologi Malaysia yang menjangka hujan di beberapa kawasan di Sarawak mulai Khamis ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pe ngurusan Bencana Negeri Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata notis itu memaklumkan bahawa hujan lebat dijangka berlaku antara Khamis dan Sabtu ini di sekitar Kuching, Samarahan, Serian, Betong, Sarikei, Sri Aman, Sibu, dan Mukah.
Susulan amaran itu, Bilik Operasi Bencana Sarawak meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana terutamanya di kawasan rendah yang berisiko banjir dan tanah tinggi yang berisiko kejadian tanah runtuh.
Semua Pejabat Residen juga diminta memastikan pusat-pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas selain Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) hendak memastikan aset pengoperasian mencukupi dan berada di dalam keadaan baik dan bersedia digunakan. – Bernama