PARIS, 9 JUN – Syarikat gergasi kenderaan tenaga baharu (NEV) China, BYD, Jumaat lalu telah merasmikan pembukaan bilik pameran utama Eropah di Paris, berdekatan Avenue des Champs-Elysees, salah satu jalan membeli-belah paling sibuk di Eropah.
Dengan keluasan 600 meter persegi di bangunan dua tingkat, kedai itu mempamerkan beberapa model kenderaan mewah BYD termasuk BYD Seal (sebuah kereta jenis sedan sporty), BYD Dolphin (sebuah kereta bandar compact) dan BYD ATTO3 (sebuah SUV compact). BYD Seal U DM-i, sebuah SUV hibrid plug-in yang baru dilancarkan di Eropah, juga akan menyertai rangkaian tersebut, umum BYD dalam satu kenyataan.
“Pada masa depan, semua model BYD yang tersedia di peringkat antarabangsa akan dipamerkan dan dijual di kedai utama ini, menawarkan pelanggan pelbagai pilihan,” tambah kenyataan itu.
Lu Shaye, Duta Besar China ke Perancis; Jeanne d’Hauteserre, Datuk Bandar arrondissement ke-8 Paris; Stella Li, Naib Presiden Eksekutif BYD dan Michael Shu, Pengarah Urusan BYD Eropah turut merasmikan pembukaan bilik pameran tersebut dengan memotong reben pada majlis berkenaan.
“Pembangunan BYD mewakili kemajuan teknologi yang dicapai oleh China. Ia juga menunjukkan komitmen teguh China terhadap iklim dan peralihan hijau,” kata duta China, sambil menambah NEV China yang dilengkapi dengan teknologi hijau canggih juga akan menyumbang kepada peralihan tenaga hijau di Perancis dan Eropah. – Xinhua
