WASHINGTON, 24 DIS – Bekas presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton, kini berada di sebuah hospital di Washington untuk menjalani ujian dan pemerhatian selepas dilaporkan mengalami demam, lapor agensi berita Jerman (dpa).
“Beliau kekal bersemangat dan sangat menghargai penjagaan yang cemerlang diterimanya,” kata timbalan ketua staf Clinton, Angel Urena, menerusi hantaran di X kelmarin.
Clinton, 78, sedang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Georgetown.
Penyiar AS, MSNBC, yang memetik sumber terdekat Clinton melaporkan keadaannya tidak kritikal dan bekas presiden dijangka pulih tidak lama lagi.
Clinton, seorang pemimpin Demokrat telah berkhidmat sebagai presiden AS ke-42 dari 1993 hingga 2001.
Isterinya, Hillary yang pernah berkhidmat sebagai senator dan setiausaha negara, bertanding untuk jawatan presiden pada 2016 tetapi tewas kepada calon Republikan, Donald Trump. – Bernama