Thursday, May 8, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bill Gates: AI kunci inovasi kesihatan, pendidikan

    JAKARTA, 7 MEI – Pengasas Microsoft, Bill Gates, menyatakan kecerdasan buatan (AI) akan memainkan peranan penting dalam membangunkan alat baharu bagi sektor kesihatan, pendidikan dan pertanian, ketika beliau bertemu Presiden Indonesia hari ini.

    Indonesia, ekonomi terbesar Asia Tenggara dengan populasi sekitar 280 juta orang di seluruh negara, telah menyaksikan permintaan yang meningkat untuk pusat data dan teknologi AI di rantau itu.

    Gates melawat Presiden Prabowo Subianto dan beberapa dermawan Indonesia di bandar Jakarta, di mana beliau menyatakan keyakinannya terhadap inovasi dipacu AI yang mampu membantu menangani cabaran global.

    “AI akan membantu kita mencipta alat baharu. Bahkan dalam penyelesaian perkhid-matan kesihatan, pendidikan dan nasihat pertanian, kita akan menggunakan AI,” katanya semasa pertemuan tersebut.

    Tambahnya, “Sebaik sahaja kita berjaya membasmi polio, kita ingin membasmi campak dan malaria juga. Kita sudah mempunyai beberapa alat baharu untuk itu. Sebahagian daripada keyakinan saya terhadap inovasi itu datang daripada kehadiran kecerdasan buatan.”

    Prabowo Subianto (kanan) dan Bill Gates mengadakan pertemuan dengan beberapa ahli perniagaan Indonesia di Istana Merdeka, Jakarta, kelmarin. – AFP

    Agensi-agensi PBB telah menjalankan kempen selama empat dekad untuk membasmi polio, yang kebanyakannya tersebar melalui kumbahan dan air tercemar.

    Menurut Prabowo, Bill Gates telah menyumbang lebih daripada AS$159 juta kepada Indonesia sejak 2009, terutamanya dalam sektor kesihatan termasuk pembiayaan vaksin.

    Gates seterusnya mengunjungi sebuah sekolah rendah di Jakarta bersama Prabowo untuk menyaksikan pelajar menikmati makanan percuma sebagai sebahagian daripada program yang dilancarkan oleh pemimpin Indonesia itu sendiri.

    Prabowo turut mengumumkan rancangan untuk menganugerahkan Gates dengan anugerah tertinggi awam Indonesia atas ‘sumbangannya kepada rakyat Indonesia dan dunia’.

    Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella pada tahun lalu berjanji akan menyuntik pelaburan sebanyak AS$1.7 bilion dalam bidang AI dan alat komputer awan, bagi membangunkan infrastruktur AI di Indonesia. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda