Thursday, May 8, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bill Gates bincang kesihatan, inisiatif pembangunan mampan di Indonesia

    JAKARTA, 7 MEI –  Bill Gates tiba di Indonesia hari ini untuk membincangkan inisiatif kesihatan dan pembangunan mampan dengan pemimpin negara keempat paling ramai penduduk di dunia tersebut.

    Gates bertemu Presiden Prabowo Subianto di sebuah istana di Jakarta. Mereka merancang untuk membincangkan kesihatan global, pemakanan, rangkuman kewangan dan infrastruktur digital awam, menurut pejabat presiden Indonesia.

    Indonesia, sebuah kepulauan yang luas dengan 17,000 pulau terbentang di tiga zon waktu dengan populasi lebih 280 juta, melancarkan projek bercita-cita tinggi tahun ini untuk memerangi kekurangan zat makanan yang bertujuan memberi makan kepada hampir 90 juta kanak-kanak dan wanita hamil.

    Program itu dijangka menelan belanja  AS$28 bilion hingga 2029 dan pengkritik mempersoalkan sama ada ia boleh dilaksanakan.

    Isnin lalu, Subianto berkata pertemuannya akan memberi tumpuan kepada sokongan Gates terhadap Makanan Berkhasiat Percuma Indonesia, yang dikenali sebagai program MBG, satu inisiatif utama pentadbirannya dengan tujuan meningkatkan pemakanan kanak-kanak dan mengurangkan kemiskinan.

    Semasa lawatan pertamanya ke ibu negara Indonesia, Gates juga dijadual melawat sebuah sekolah rendah di timur Jakarta di mana lebih 500 pelajar mengambil bahagian dalam program itu.

    Dana Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan bahawa satu daripada 12 kanak-kanak Indonesia di bawah 5 tahun mengalami berat badan yang rendah, manakala satu daripada lima adalah lebih pendek daripada biasa. Kedua-duanya disebabkan oleh kekurangan zat makanan.

    Program Subianto telah mendapat banyak kritikan daripada pelabur dan penganalisis mengenai skala logistiknya, beban kewangan negara dan ekonomi, dan kaitannya dengan kepentingan kumpulan pelobi industri. – AP

    Prabowo Subianto, (kanan) bertemu Bill Gates di Istana Merdeka, Jakarta, Indonesia hari ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda