SAN FRANCISCO, 15 MAC – Pengasas bersama Microsoft, Bill Gates dilaporkan meninggalkan lembaga pengarah gergasi teknologi itu untuk memberikan lebih tumpuan pada aspek filantropi.
Tokoh terkenal berusia 64 tahun itu tidak lagi terbabit dalam operasi ha-rian syarikat sejak lebih sedekad lalu dan hanya memberi tumpuan kepada yayasan yang ditubuhkan bersama isteri, Melinda.
Ketua Eksekutif Microsoft, Satya Nadella dalam satu kenyataan berkata, Gates memainkan peranan sebagai pengerusi lembaga pengarah Microsoft sehingga awal tahun 2014, sebelum meninggalkan seluruh syarikat.
“Adalah satu penghormatan besar dan kelebihan, dapat bekerja serta mempelajari banyak perkara daripada Bill sepanjang tempoh ini.
“Bill menubuhkan syarikat ini berasaskan kepercayaan penuh kepada konsep demokrasi perisian dan minat mendalam untuk menyelesaikan cabaran utama masyarakat moden.
“Malah dunia menjadi lebih baik dengan Microsoft,” katanya.
Nadella berkata, Microsoft bagaimanapun akan tetap berpeluang menikmati sentuhan Gates kerana tokoh terbabit akan menyumbang buah fikiran dan pandangan selaku penasihat teknikal.
“Saya bersyukur dan terhutang budi dengan persahabatan bersama Bill dan akan terus berada di sisi beliau,” katanya. – AFP
