Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Billy Joel jual motosikal kerana masalah kesihatan

    Legenda pop terkenal Amerika Syarikat (AS), Billy Joel akan melelong koleksi motosikal kuasa besar miliknya, selepas disahkan menghidap masalah otak yang memaksa penyanyi Uptown Girl itu membatalkan siri jelajah dunia konsertnya.

    Mei lalu, Joel dilapor membatalkan persembahan di United Kingdom (UK) dan jadual padat merentasi AS hingga Julai tahun depan susulan diagnosis penyakit jarang berlaku, iaitu Normal Pressure Hydrocephalus (NPH).

    Pengurusan Joel mengesahkan keputusan penyanyi itu untuk melelong koleksi motosikalnya, seperti dilapor AFP, baru-baru ini.

    “Disebabkan diagnosis perubatan baru-baru ini, Billy akan melelong koleksi motosikalnya pada akhir tahun ini,” kata jurucakapnya kepada AFP.

    Koleksi motosikal Joel yang banyak dilapor ditempatkan di sebuah kedai di bandar Oyster Bay, Long Island dan boleh dilihat secara percuma pada hujung minggu.

    Billy Joel akan melelong koleksi motosikalnya disebabkan masalah kesihatan. – Berita Harian Online

    “Joel tidak akan memperbaharui pajakan kedai motosikal 20th Century Cycles apabila ia tamat pada akhir September,” tambah jurucakap itu.

    Legenda berusia 76 tahun yang popular dengan lagu We Didn’t Start the Fire dan New York State of Mind itu menjadi figura pop sejak 1970an. Sejak mula bertapak, motosikal sentiasa menjadi sebahagian daripada imej Joel.

    Ini dapat dibuktikan apabila dalam video muzik lagu Uptown Girl yang popular pada awal 1980an, Joel menunggang motosikal dan menyanyi mengenai aksi menunggang motosikal dalam hujan dalam lagu You May Be Right, lapor agensi.

    Menurut laman web premis yang menjadi tempat simpanan koleksi motosikal Joey, beliau memiliki lebih 75 motosikal kuasa besar.

    “Saya suka gaya lama,” kata Joel dalam video promosi, sambil mendedahkan ada motosikal dalam koleksinya yang dikeluarkan pada era 1940an. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda