MEXICO CITY – Pelakon suara di seluruh dunia sedang menggembleng tenaga menentang penggunaan tanpa kawalan kecerdasan buatan (AI) untuk menjana dan mengklon suara manusia yang dikhuatiri boleh mengancam mata pencarian mereka.
“Kami sedang berhadapan dengan raksasa yang sangat besar,” kata Mario Filio, pelakon alih suara Mexico yang telah melakukan pengalihan suara untuk bintang Hollywood Will Smith, watak Obi-Wan Kenobi dalam Star Wars dan lemur King Julien yang suka berpesta dalam filem animasi, Madagascar.
Berkempen di bawah slogan Jangan curi suara kami, lebih daripada 20 persatuan pengalihan suara, pertubuhan dan kesatuan dari Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan Amerika Latin telah mewujudkan persekutuan United Voice Artists.
Ia mewakili pelakon alih suara yang bekerja di belakang tabir dalam iklan, filem, buku audio dan permainan video yang bimbang suara mereka akan digantikan oleh mesin atau bahkan diklon oleh AI tanpa persetujuan mereka.
“Penggunaan AI tanpa diskriminasi dan tidak terkawal adalah risiko yang boleh menyebabkan kepupusan warisan artistik kreativiti dan keajaiban, aset yang tidak dapat dihasilkan oleh mesin,” menurut kumpulan itu, yang mengatakan bahawa ahlinya termasuk Persatuan Pelakon Suara Kebangsaan (NAVA) AS dan Pertubuhan Suara Bersatu Amerika Latin.
“Suara kami adalah mata pencarian kami,” kata naib presiden NAVA, Carin Gilfry dalam satu kenyataan baru-baru ini.
“Dan jika kita tidak mempunyai kawalan ke atas bagaimana suara-suara itu digunakan, kita tidak dapat mencari rezeki,” tambahnya.
Pelakon suara telah pun bersaing dengan teknologi teks-ke-suara yang mengubah perkataan bertulis menjadi suara sintetik.
Kini AI telah membawa ancaman baharu.
Disebabkan oleh pembelajaran mesin, perisian boleh membandingkan sampel suara dengan berjuta-juta sampel yang sedia ada, mengenal pasti corak yang menghasilkan klon.
“Ia dibekalkan oleh suara-suara yang telah kami sediakan selama bertahun-tahun,” kata Dessiree Hernandez, presiden Persatuan Juruhebah Iklan Komersial Mexico.
“Kami bercakap mengenai hak untuk menggunakan suara awda tanpa persetujuan awda,” tambahnya.
Platform-platform berkenaan menawarkan perkhidmatan teks-ke-suara pada bayaran yang jauh lebih murah berban-ding bayaran yang dikenakan oleh profesional.
Salah satu daripadanya, revoicer.com, mengatakan bahawa ia tidak berniat untuk menggantikan suara latar manusia, tetapi untuk menawarkan alternatif yang lebih cepat dan murah.
Walaupun mereka terus mendapat tawaran pekerjaan, pelakon suara mengesyaki bahawa syarikat-syarikat sedang menggunakan suara mereka untuk membina arkib.
Para pelakon suara ini sedang mencari alat untuk menjejaki suara mereka dalam menghadapi cetak rompak yang canggih.
Mereka mahu undang-undang menghalang rakaman suara mereka digunakan bagi membangunkan AI tanpa persetujuan mereka, dan juga menyokong penetapan kuota untuk alih suara manusia, kata pelakon suara Colombia, Daniel Soler de la Prada.
“Pada masa depan, penonton mungkin akan mendengar suara seorang pelakon terkenal dalam beberapa bahasa tetapi dengan intonasi pelakon alih suara,” kata Filio.
“Walaupun itu boleh menjana pekerjaan dan faedah untuk orang ramai, pelakon suara perlu mengenakan bayaran yang adil,” tambahnya.
Pelakon suara Mexico, Maclovia Gonzalez berkata bahawa dia hanya akan menandatangani kontrak dengan syarikat AI jika syarikat tersebut memberikan maklumat yang mencukupi tentang bagaimana kandungan itu akan digunakan.
“Saya mahu menjadi sebahagian daripada revolusi ini, tetapi bukan pada sebarang harga,” katanya.
Art Dubbing, sebuah syarikat yang telah menerima beberapa permintaan daripada pelanggan untuk menggunakan suara sintetik, menghadapi dilema: “menyesuaikan diri atau menghilang,” kata pengasasnya dari Mexico, Anuar Lopez de la Pena.
Filio pula mengatakan bahawa dia berhenti merakam untuk banyak pelanggan kerana takut akan merosakkan mata pencarian rakan sekerjanya.
Tetapi dia berasa ragu-ragu bahawa AI akan menggantikan pelakon suara sepenuhnya kerana mesin-mesin tersebut ‘tiada jiwa’, tambahnya. – AFP