Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Sesetengah ibu bapa dan penjaga pelajar menimbulkan kebimbangan mengenai virus COVID-19 tersebar menerusi Home Learning Pack (HLP) yang diberikan oleh guru-guru sekolah yang menggunakan kaedah berkenaan semasa pandemik ini.
Mengulas mengenai perkara itu, Menteri Kesihatan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar berkata, beliau difahamkan terdapat beberapa cara yang dilaksanakan oleh pihak sekolah dalam mendapatkan HLP.
“Ini sama ada secara pandu lalu atau mengambil di satu tempat yang dikhaskan di mana tidak ada perkumpulan di lakukan,” jelasnya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei
Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai pengawalan kemasukan orang ramai ke premis-premis perniagaan, Yang Berhormat Dato berkata bahawa peraturan-peraturan yang dibuat oleh premis berkenaan dalam mengawal kemasukan pelanggan adalah hak premis itu sendiri.
“Ia adalah hak premis masing-masing untuk membuat peraturan mereka, walaupun mempunyai kod BruHealth berwarna hijau, selain ada juga premis yang mengehad-kan keramaian pelanggan untuk memasuki premis mereka.
“Ini adalah untuk memastikan premis selamat untuk bukan sahaja untuk mereka yang berniaga tapi juga pelanggan mereka,” tambahnya.