KABUL, 30 April – Afghanistan telah mengedarkan risalah bagi meningkatkan usaha untuk menaikkan jumlah pendaftaran pengundi yang rendah menjelang pilihan raya perundangan, di tengah-tengah kebimbangan mengenai kredibiliti pilihan raya itu.
Beberapa siri serangan ke atas pusat pendaftaran penggundi di seluruh negara yang dilanda perang itu termasuk serangan berani mati di Kabul minggu lalu sekali gus menghalang rakyat Afghanistan untuk mendaftar sebagai pengundi bagi undian pada 20 Oktober nanti.
Hanya lebih 650,000 telah mendaftar sebagai pengundi pada Sabtu lalu, beberapa hari selepas proses yang berlangsung selama dua bulan, sepertimana pengumpulan data oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas (IEC).
IEC yang telah memerhati persediaan bagi undian majlis daerah dan parlimen yang lama tertangguh, berharap untuk mendaftarkan lebih 14 juta orang di 7,000 pusat undian.
Tetapi jika perkembangan ini berterusan, kurang daripada tiga juta orang akan mendaftar sehingga tarikh tutup pada pertengahan Jun.
“Kami bimbang mengenai jumlah yang sedikit,” menurut jurucakap IEC, Shafi Jalali memberitahu AFP kelmarin dan menambah proses tersebut dilanjutkan.
Pihak berkuasa telah mengerahkan beberapa pesawat untuk mengedarkan risalah di beberapa buah tempat bagi meningkatkan kesedaran mengenai pilihan raya itu, di mana ia akan menjadi ujian bagi pilihan raya presiden tahun depan. – AFP