BEIJING, 19 Okt – Isteri bekas ketua Interpol Meng Hongwei telah menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan nyawa suami dan juga dirinya, mengecam terhadap apa yang beliau gelar sebagai kerajaan China yang ‘kejam’ dan ‘kotor’ yang menahan suaminya dalam keadaan penuh misteri.
Komen oleh Grace Meng dalam temu bual BBC menunjukkan tahap kritikan yang luar biasa dan amat berterus terang mengenai kerajaan China oleh mangsa tindakan keras Beijing ke atas rasuah, di mana kebanyakan kes biasanya dikendalikan dengan penuh rahsia dan hanya versi peristiwa sah yang didedahkan.
“Saya fikir ia adalah penindasan politik. Saya tidak pasti sama ada beliau masih hidup,” kata Grace Meng dalam temu bual yang diadakan di Perancis, di mana Meng ditempatkan di ibu pejabat Interpol. Meng Hongwei, juga timbalan menteri keselamatan awam China, hilang ketika satu kunjungan ke China pada bulan lalu. Beliau seterusnya meletak jawatan sebagai ketua pertubuhan polis antarabangsa pada 7 Oktober setelah pihak berkuasa China mengumumkan beliau sedang disiasat.
China berkata beliau disyaki menerima rasuah.
“Saya memberitahu anak saya bahawa bapanya sedang berada di luar negara atas urusan kerja,” kata Grace Meng, muncul dalam temu bual yang menampakkan bayangnya sahaja untuk menyembunyi kehadiran beliau.
Sementara itu, beliau mengadu bahawa kuasa China ‘tidak ada had’ untuk bertindak ke atas penentang, di mana beliau mendakwa telah menerima panggilan telefon yang mengugutnya sebagai sasaran di Perancis. – AFP