BANDAR SERI BEGAWAN, 17 April – Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) melalui Badan Ugama Islam, hari ini, telah mengadakan Kelas Bimbingan Fiqh as Solat di Surau Ibu Pejabat PDB, di sini.
Kelas sehari yang dibimbing oleh Awang Hilman bin Haji Salim itu disertai oleh 30 orang peserta kumpulan fokus terdiri daripada Pasukan Simpanan Kompeni C yang juga dikenali sebagai Polis Hutan dan Polis Marin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, tujuan kelas tersebut diadakan untuk memberi bimbingan secara teori dan praktikal solat dan cara-cara taharah atau menyucikan diri semasa bertugas.
Ini kerana mereka bertugas di perbatasan negara iaitu di kawasan hutan belantara dan dalam keadaan suasana yang tidak menentu. Manakala itu, Polis Marin juga sering melalui keadaan seperti bermusafir di dalam bot atau kapal laut.
Solat Khauf merupakan solat yang disyariatkan semasa waktu menghadapi musuh atau darurat. Ibadat solat merupakan fardu yang tidak boleh diambil ringan, namun pada masa yang sama Islam memberikan cara yang mudah sebagai rahmat.
