Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Bimbingan tegas bentuk perwatakan terbaik’

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Golongan belia perlu membangunkan kemahiran pemikiran kritis kerana generasi belia masa kini mempunyai akses kepada lebih banyak ilmu pengetahuan.

    Namun begitu, dalam memperoleh ilmu pengetahuan berkenaan, mereka juga harus menapis maklumat yang diterima untuk mendapatkan pengetahuan yang berguna serta sahih.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan berswafoto bersama para pelajar. – Gambar serahan Curious MIND

    Nasihat berkenaan telah dikongsi oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa sesi perkongsian bagi Program Future Leaders Academy (FLY) yang berlangsung di Universiti Brunei Darussalam (UBD), baru-baru ini.

    Sesi perkongsian berkenaan telah dihadiri oleh lebih 150 pelajar UBD di mana mereka berpeluang mendengar kisah perjalanan kerjaya awal Yang Berhormat Menteri Kesihatan menerusi usaha keras, mengambil inisiatif serta merebut segala peluang yang hadir untuk melakukan yang terbaik dengan tanggungjawab besar atau kecil yang diamanahkan kepadanya.

    Yang Berhormat Dato turut memberikan contoh semasa bertugas bagi waktu yang lama sebagai seorang pelatih di Scotland di bawah bimbingan doktor-doktor yang tegas di mana tempoh yang mencabar itu telah membentuk perwatakannya, kemahiran menyelesaikan masalah serta membina daya tahannya.

    Semasa sesi perkongsian berkenaan, Yang Berhormat Dato turut membincangkan mengenai kepimpinan di mana beliau berkongsi pengalamannya membantu memimpin negara dalam usaha menangani penularan COVID-19. 

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan berkongsi pengalamannya semasa Program FLY. – Gambar serahan Curious MIND

    Beliau merakamkan penghargaan yang amat besar ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kepimpinan bijaksana Baginda, komitmen tidak berbelah-bahagi serta sokongan seluruh kementerian yang bersama-sama dengan kakitangan perubatan dan sukarelawan bekerjasama menangani krisis yang dihadapi bersama.

    Beliau mengaitkan komunikasi terbuka sebagai faktor penting kepada pendekatan seluruh negara menangani COVID-19. Antara strategi yang ditekankan adalah menangani maklumat palsu secara pantas dan tepat pada waktunya melalui sidang media harian yang disiarkan seluruh negara.

    Pada masa yang sama, menyampaikan pendekatan yang tegas dan cepat untuk menyediakan ketelusan penuh dengan arahan yang jelas secara konsisten juga merupakan kunci kepada kejayaan, tambahnya..

    Selain itu, Yang Berhormat Dato turut membincangkan mengenai peranan Kementerian Kesihatan dalam mencapai Wawasan Brunei 2035 khususnya matlamat memastikan kualiti kehidupan tertinggi melalui penjagaan kesihatan dan mencapai standard keselamatan dan kesihatan bertaraf dunia.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda