Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIMP-EAGA pacu pertumbuhan pelbagai bidang sub-rantau – Marcos Jr

    KUALA LUMPUR, 27 MEI – Inisiatif bersama di bawah Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) memainkan peranan penting merapatkan jurang pembangunan dalam sub-rantau.

    Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr berkata inisiatif berkenaan secara khususnya memberi kesan terhadap aspek seperti ketersambungan, kemudahan perdagangan dan pelaburan, serta keterjaminan makanan dan tenaga.

    Beliau berkata bidang lain yang menyaksikan kemajuan ketara sejak BIMP-EAGA dilancarkan pada 1994  adalah ekopelancongan, serta pembangunan hijau.

    “Semasa kita bersidang hari ini, marilah kita mengambil peluang ini untuk bukan sahaja meraikan kejayaan ini tetapi juga mengesahkan visi bersama kita untuk BIMP-EAGA yang lebih bersepadu, makmur dan berdaya tahan.

    “Laluan ke hadapan memerlukan sinergi, inovasi dan kemahuan politik yang lebih besar. Saya yakin melalui kerjasama, kita akan terus mengubah aspirasi yang dipegang ini menjadi impak yang berkekalan untuk rakyat kita,” kata Marcos yang mempengerusikan Sidang Kemuncak BIMP-EAGA ke-16 di Kuala Lumpur hari ini.

    Turut hadir ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

    Presiden Filipina itu berkata Sidang Kemuncak BIMP-EAGA ke-16 di Kuala Lumpur tahun ini mempunyai kepentingan yang istimewa, kerana ia menandakan lapan tahun kemajuan inisiatif itu yang luar biasa sejak penerimaan Visi 2025. 

    Inisiatif BIMP-EAGA telah meningkatkan pertumbuhan dalam perdagangan, pelaburan dan pelancongan melalui penyediaan laluan perkapalan yang baharu antara wilayah serta sambungan laluan udara, dan projek sambungan tenaga. Bidang kerjasama utama lain termasuk perniagaan tani, alam sekitar, dan pendidikan sosiobudaya.

    Menurut laman webnya, sub-rantau itu meliputi seluruh Brunei; wilayah Kalimantan, Sulawesi, Maluku, dan Papua Barat di Indonesia; Sabah, Sarawak dan Labuan di Malaysia; dan pulau Mindanao serta wilayah Palawan di Filipina.

    Kawasan tersebut mewakili lebih 60 peratus keluasan negara-negara BIMP-EAGA, dan membentuk kira-kira 18.8 peratus daripada jumlah penduduk dan 18.4 peratus daripada tenaga buruh.

    Ekonomi BIMP-EAGA pada 2022 meningkat 7.7 peratus. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada harga semasa bernilai AS$392.1 bilion, mencakupi 18.9 peratus daripada gabungan KDNK empat negara. 

    Sehingga Oktober 2023, bilangan projek infrastruktur keutamaan (PIP) BIMP-EAGA telah meningkat tiga kali ganda kepada 129, membabitkan jumlah AS$38.87 bilion, daripada hanya 57 projek pada 2017 apabila Visi 2025 BIMP-EAGA diterima pakai. – Bernama 

    Ferdinand Marcos Jr menyampaikan ucapan pembukaannya sebagai pengerusi Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) ke-16 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda