Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Menteri-menteri Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur BIMP-EAGA menyambut baik cadangan-cadangan pembaikan daripada Mid-Term Review (MTR) visi BIMP-EAGA 2025 (BEV 2025) sebagai pengemudi ke arah pemulihan ekonomi dan pencapaian tiga hasil utama.
Para menteri yang bersidang di Mesyuarat Menteri-menteri BIMP-EAGA ke-25 dan Permukiman Menteri-menteri BIMP-EAGA di Puntianak, Kalimantan Indonesia pada 25 dan 26 November, menyambut baik tiga hasil utama yang diketengahkan iaitu pengilangan bersih dan mesra alam, industri pertanian dan perikanan yang kompetitif dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim serta sebagai sebuah destinasi pelancongan pelbagai negara yang maju.
Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid telah menghadiri mesyuarat tersebut di mana MTR juga mencadangkan pengukuhan kapasiti institusi BIMP-EAGA bagi meningkatkan lagi penyelarasan dan penyampaian hasil di sub-serantau berkenaan.
Mesyuarat juga menekankan komitmen BIMP-EAGA untuk melaksanakan BEV 2025 sepenuhnya.
Mesyuarat seterusnya menyuarakan keperluan bagi BIMP-EAGA untuk mula mewujudkan asas-asas bagi agenda BIMP-EAGA Pasca 2025.
Mesyuarat juga mengalu-alukan Forum Kerajaan Setempat, Gabenor dan Ketua Menteri untuk diaktifkan semula.
Mesyuarat tersebut telah didahului oleh Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan BIMP-EAGA ke-30 pada 24 November, yang dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri), Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim.
BIMP-EAGA yang ditubuhkan pada 1994 ialah inisiatif di antara Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Republik Filipina untuk mempercepatkan pembangunan sosio-ekonomi di sub-serantau berkenaan.
