Wednesday, December 4, 2024
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Bina diri hadapi cabaran globalisasi’

    MELBOURNE, AUSTRALIA, 5 MAC – Para pelajar di luar negara terdedah kepada pelbagai cabaran dan sesiapa yang mampu menghadapinya bererti mereka memiliki kedayatahanan diri.

    Oleh itu, para pelajar diseru untuk menggunakan peluang tersebut untuk membina diri, pemikiran dan nilai kepimpinan kerana para pelajar adalah pewaris kepimpinan negara, yang perlu dipenuhi dengan ilmu pengetahuan bagi menghadapi cabaran-cabaran yang dinamik di era globalisasi.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu semasa berkenan mengurniakan titah ketika berangkat ke Majlis Bersama Penuntut-penuntut, Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di Australia dan New Zealand yang berlangsung di Hotel Park Hyatt Melbourne.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Baginda Sultan semasa bertitah turut menekankan bahawa sains dan teknologi, sangat mempengaruhi kehidupan, yang mana platform digital seperti media sosial menjadi penentu kepada sumber ilmu, inspirasi, idea, kolaborasi dan komunikasi. Penggabungan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) menjadikan penyampai dan penyebar maklumat lebih terbuka, pantas dan mudah.

    Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah ketika berangkat ke Majlis Bersama Penuntut-penuntut, Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan dijunjung bergambar bersama perwakilan penuntut pada majlis yang berlangsung di Hotel Park Hyatt Melbourne. Turut berangkat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke majlis santap bersama perwakilan penuntut semasa majlis di Hotel Park Hyatt Melbourne. Turut berangkat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke Majlis Bersama Penuntut-penuntut, Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam di Hotel Park Hyatt Melbourne. Turut berangkat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan berangkat bercemar duli bersama penuntut yang berada di Australia dan New Zealand. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan dijunjung bergambar ramai semasa berangkat ke Majlis Bersama Penuntut-penuntut, Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di Australia dan New Zealand yang berlangsung di Hotel Park Hyatt Melbourne. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Oleh itu, Baginda menegaskan supaya menggunakannya dengan bertanggungjawab agar tidak terjebak ke dalam isu keselamatan digital seperti academic malpractice, penyebaran maklumat palsu dan menjadi mangsa jenayah siber.

    Menyentuh mengenai Sambutan Hari Kebangsaan ke-40 tahun yang telah diadakan baru-baru ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menjelaskan sambutan tersebut menyedarkan kita bahawa kemerdekaan itu mestilah diisikan dengan sikap tanggungjawab, kerja keras, taat setia yang tidak berbelah bahagi serta mempertahankannya supaya kemerdekaan itu lebih bermakna.

    Di samping itu, para pelajar hendaklah mengisikan kemerdekaan dengan belajar bersungguh-sungguh dan menyematkan semangat patriotik.

    Mereka juga perlu melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti bermanfaat sebagai tanda ‘Pemuda Harapan Bangsa dan Pemudi Tiang Negara’ di samping mencintai negara dalam apa jua keadaan. Para pelajar juga diingatkan untuk tidak lupa akan budaya keBruneian dengan memupuk nilai-nilai kerohanian yang tinggi bersendikan kepada akidah Ahli Sunnah Waljama’ah.

    Pada mengakhiri titah, Baginda berharap agar para pelajar untuk sentiasa menghormati undang-undang kerana warga Negara Brunei Darussalam adalah warga dunia yang menghormati undang-undang.

    Terdahulu, keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Presiden Persatuan-persatuan Pelajar Negara Brunei Darussalam di Australia dan New Zealand (BSUANZ), Dayang Nur Azmina Hannani binti Muhammad Shahrul Nizzam; dan Presiden Yang Di-Pertua Persatuan Penuntut Brunei di Melbourne, Dayang Hasfarah Munerra binti Dr Mursidi.

    Baginda kemudian dijunjung berangkat ke Majlis Santap bersama perwakilan penuntut, serta menandatangani lembaran kenangan sebelum menghadiri Majlis Bersama Penuntut-penuntut, Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam.

    Majlis dimulakan dengan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan diikuti bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, iaitu ayat 28 hingga 31 daripada Surah Faathir yang disampaikan oleh Awang Muhammad Razqan bin Haji Abdul Razak dari University of New South Wales, manakala intisarinya disampaikan oleh Awang Nabil Iman bin Haji Azmee dari Curtin University, Perth.

    Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Sementara itu, Presiden BSUANZ, dalam sembah alu-aluannya menyifatkan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bercemar duli ke majlis tersebut mencerminkan pemedulian dan keprihatinan Baginda terhadap keberadaan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat Negara Brunei Darussalam terutamanya kepada para pelajar yang sedang mengikuti pengajian di Australia dan New Zealand.

    Ini setentunya menjadi pembakar semangat para pelajar lebih-lebih lagi dalam suasana meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-40.

    Menurut Dayang Nur Azmina Hannani lagi, BSUANZ terus mengungkayahkan pelbagai aktiviti sebagai usaha untuk terus menghidupkan semangat keBruneian seperti Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40.

    Di samping itu, acara-acara kebudayaan dan keagamaan akan terus dianjurkan lagi pada masa akan datang.

    Pada masa ini, seramai 180 orang penuntut yang mengikuti pengajian di Australia dan 31 orang penuntut di New Zealand, yang terdiri daripada penerima-penerima biasiswa kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di bawah Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Kementerian Hal Ehwal Ugama; Sultan Scholars Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan; Biasiswa Syarikat Brunei Shell Petroleum; Biasiswa BIBD ALAF serta pelajar persendirian.

    Pada majlis ini juga, Presiden BSUANZ menyembahkan pesambah Brunei, Australia and New Zealand Friendship Art kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia iaitu sebuah lukisan Aboriginal Art hasil karya artistik komuniti orang asli Australia, yang menggambarkan perhubungan persahabatan yang erat antara ketiga-tiga buah negara berkenaan melalui pendidikan berkualiti tinggi.

    Pesambah ini juga diilhamkan dari bunga simpur dari Negara Brunei Darussalam, golden wattle dari Australia dan bunga kowhai dari New Zealand.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berangkat bercemar duli bersama lebih 600 orang penuntut, rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di Australia dan New Zealand.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda