Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Seramai 96 orang pelajar menyertai Program Jati Diri ‘Berkat’ bagi pelajar-pelajar yang dianugerahkan Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Luar Negeri dan Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan (SBPP) Sesi Pengajian 2023/2024 yang berlangsung di Dewan Utama, Kementerian Pendidikan dan Sekolah Menengah Menglait.
Perasmiannya hari ini telah disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Jabatan Pengurusan Biasiswa, Dayang Rosimah Sumaimah binti Haji Matassim.
Kementerian Pendidikan, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan bahawa program anjuran Jabatan Pengurusan Biasiswa berkenaan disertai oleh 60 orang penerima Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Luar Negeri di peringkat Ijazah Sarjana Muda, 21 orang penerima Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Luar Negeri di peringkat Ikhtisas dan Ijazah Sarjana serta 15 orang pelajar di bawah SBPP, Kementerian Pendidikan.
Diadakan selama lima hari, antara perisian program termasuk pelbagai taklimat, aktiviti serta sesi perkongsian ilmu seperti ilmu kemahiran hidup, keyakinan, kepimpinan, pengukuhan akidah serta penghayatan Melayu Islam Beraja (MIB).
Pengendalian program itu dijangka akan dapat membentuk peribadi atau jati diri pelajar dengan sifat kepimpinan, berdaya tahan dan berdikari dalam menjalani pengajian di luar negara.
Program itu juga diharapkan dapat mempersiapkan diri pelajar untuk memikul tanggungjawab dan sentiasa bersyukur dengan pemberian yang dihulurkan oleh pihak kerajaan sebagai pelajar di bawah pengendalian Kementerian Pendidikan.