Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bina kemahiran insaniah, jati diri

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Apabila pelajar dan guru berganding bahu dan bekerjasama sebagai rakan pembelajaran dan sukarelawan, mereka boleh membina sebuah komuniti yang saling menguatkan serta mengangkat antara satu sama lain.

    Oleh itu, modul dalam Bengkel Kerja Berpasukan Pasukan Sukarelawan Institusi Pendidikan (PSIP) yang merangkumi kerjasama berpasukan, pembentukan sahsiah, penyelesaian masalah dan nilai kemasyarakatan bukan sahaja membina kemahiran insaniah tetapi juga jati diri dan matlamat yang lebih mendalam.

    “Inilah asas-asas kepimpinan yang bukan sahaja penting di sekolah tetapi juga dalam keluarga, tempat kerja dan masyarakat kita,” kata Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Chong Chin Yee dalam ucapan motivasinya pada Majlis Penutup Bengkel Kerja Berpasukan PSIP yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (L3C), hari ini.

    Beliau seterusnya berkata menjadi sukarelawan tidak memerlukan permulaan yang sempurna atau masa yang tepat, apa yang penting ialah kesanggupan untuk menyumbang dalam apa jua cara yang mampu.

    “Sama ada awal atau lewat yang paling penting ialah langkah pertama itu. Saya berharap bengkel ini telah memberi inspirasi kepada awda untuk meneruskan perjalanan awda dalam khidmat masyarakat dan sumbangan sivik,” tambahnya.

    Yang Berhormat Chong Chin Yee menyampaikan ucapan motivasi pada majlis penutup berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Yang Berhormat Chong Chin Yee menyampaikan hadiah dan sijil kepada para peserta bengkel. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Pada majlis itu, Penolong Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Awang Mohd Norilham bin Haji Jais telah menyempurnakan penyampaian cenderamata fasilitator kepada Yang Di-Pertua Majlis Belia Brunei (MBB), Dayang Khairunnisa binti Ashari.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah dan sijil kepada kumpulan terbaik serta para peserta bengkel yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Chong Chin Yee.

    Johan bagi kumpulan terbaik bengkel berkenaan ialah Kumpulan Fushia, tempat kedua ialah Kumpulan The Mix Powerpuffs dan tempat ketiga ialah Kumpulan Saturn.

    Bengkel Kerja Berpasukan PSIP dianjurkan oleh Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum dengan kerjasama MBB.

    Bengkel itu bermatlamat untuk memupuk semangat kerjasama serta menjalin hubungan yang kukuh dan berterusan dalam kalangan ahli sesebuah pasukan.

    Di samping itu, bengkel itu turut memberikan peluang kepada ahli PSIP untuk mengongsi pandangan mereka dalam pelaksanaan aktiviti berkenaan serta diharap akan dapat melahirkan masyarakat yang bersifat pemimpin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda