Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bina kemudahan ‘singgah setagal’ dekat sempadan

    Semasa cuti awam Israk Mikraj dan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, saya antara ‘mangsa’ perjalanan memeritkan dengan barisan panjang kereta yang beratur selama lebih lapan jam hendak masuk ke negara jiran.
     
    Gambar-gambar deretan kereta di kedua-dua pos kawalan yang banyak dikongsi dalam media sosial itu dirasakan antara yang pecah rekod awal tahun ini.
     
    Namun apa yang saya ingin tekankan di sini adalah tentang ketiadaan kemudahan atau fasiliti di sekitar 5-10km jalan menuju ke kedua-dua pos kawalan di Daerah Belait dan Daerah Temburong yang mana sepanjang laluan tersebut adalah hutan.
     
    Saya teringat pada sidang Majlis Mesyuarat Negara (MMN) sebelum ini salah seorang ahli yang berhormat pernah menyuarakan tentang cadangan pembinaan untuk mewujudkan pusat rehat (R&R) di beberapa lebuh raya yang sering digunakan oleh para pengguna jalan raya di negara ini.
     
    Namun sehingga kini, tiada tindakan diambil. Saya percaya cadangan itu suatu langkah yang baik dan perlu direalisasikan untuk memenuhi keperluan masyarakat di negara ini dan para pelancong yang datang melalui jalan darat.
     
    GAMBAR IHSAN
    Pembinaan pusat R&R bukan sahaja boleh memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya malah dapat memberi manfaat kepada negara dari segi ekonomi.
     
    Berdasarkan pengalaman terpaksa beratur lebih lapan jam di sempadan imigresen untuk menuju ke negara jiran dengan harapan dapat meluangkan masa bercuti dan melawat sanak saudara, akhirnya bertukar menjadi perjalanan yang cukup menderitakan kerana di kiri kanan jalan tidak ada fasiliti atau kemudahan sehenti untuk kami singgah berehat, membeli makanan dan menggunakan tandas.
     
    Saya rasa amat tertekan dan letih dengan perjalanan yang begitu lama umpama perjalanan jauh yang menggunakan pesawat menuju ke Dubai!
     
    Jika difikirkan, masalah ketiadaan fasiliti itu tidak sepatutnya berlaku di negara yang sedang membangun ini. 
     
    Saya rasa memang wajar pihak yang berkenaan bertindak segera dan janganlah memandang isu ini dengan sebelah mata sahaja dan laksanakanlah cadangan untuk mewujudkan pusat ‘singgah setagal’ atau ‘R&R’ di tempat-tempat strategik. 
     
    Saya yakin ia akan memberi manfaat kepada semua pengguna jalan raya dan meningkatkan kualiti hidup kita.
     
     
    Mangsa Que Panjang
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda