Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bina kerjasama pertahanan

    BEIJING, Republik Rakyat China, 26 Okt – Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof telah menghadiri Forum Xiangshan yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Beijing bermula 24 Oktober lalu hingga hari ini.

    Turut menyertai Yang Berhormat Pehin ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, forum berkenaan dikenda-likan bersama oleh China Association for Military Science (CAMS) dan China Institute for International Strategic Studies (CIISS) dengan tema tahun ini ‘Building a New Type of Security Partnership of Equality, Mutual Trust and Win-win Cooperation’.

    Wakil-wakil dari 67 buah negara dan tujuh pertubuhan antarabangsa termasuk Negara Brunei Darussalam, negara-negara anggota ASEAN, Eropah dan Afrika, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menghadiri forum tersebut.

    Forum berkenaan telah dirasmikan oleh State Councilor dan Menteri Pertahanan Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Jeneral Wei Fenghe yang turut menyampaikan ucapan pembukaan daripada Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa mengadakan perbincangan dua hala bersama Leftenan Jeneral Yang Xuejun, kelmarin.
    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama delegasi semasa menghadiri Forum Xiangshan, kelmarin.

    Kenyataan menyatakan, forum tersebut terbahagi kepada empat sesi pleno dan sesi khas yang antara lain memfokuskan perbincangan mengenai International Security Governance – Idea dan Pendekatan Baharu, Pengganasan Global: Ancaman dan Langkah-langkah Pencegahan, Kerjasama Keselamatan Maritim: Realiti dan Visi, dan Pasukan Pengaman PBB dan Kerjasama.

    Menteri-menteri pertahanan yang hadir turut diraikan pada Majlis Makan Malam yang dihoskan oleh TYT Jeneral Wei Fenghe kelmarin.

    Yang Berhormat Pehin juga telah membuat perbincangan dua hala bersama Pengerusi China Association for Military Science, Leftenan Jeneral Yang Xuejun, penganjur bersama forum tersebut.

    Semasa perjumpaan tersebut, Yang Berhormat Pehin telah menyampaikan hasrat kedua-dua pihak untuk menanai peluang kerjasama antara institusi-institusi pertahanan. Beliau juga menyampaikan penghargaan dan ucapan tahniah atas kejayaan forum tersebut.

    Kenyataan menambah, forum kali ini telah berjaya mencapai matlamatanya dalam membina platform untuk bertukar-tukar maklumat serta membina keyakinan bersama ke arah kerjasama yang jitu di pelbagai peringkat pertahanan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda