Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bina komitmen tinggi, positif

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Seramai 39 orang pegawai baharu dari Kementerian Kesihatan telah berjaya mengikuti Kursus Induksi bagi Pegawai-pegawai Tempatan yang Baharu Berkhidmat dan diraikan pada majlis penutup kursus yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para pegawai baharu pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman.

    Pegawai-pegawai yang menyertai kursus pada kali ini terdiri daripada para pegawai yang baharu berkhidmat dalam Divisyen II ke atas di Kementerian Kesihatan pada tahun 2017, 2018 dan 2019.

    Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, Kementerian Kesihatan, Dayang Sufinah binti Haji Serudin dalam ucapannya antara lain mengingatkan semua pegawai yang baharu dan lama berkhidmat di Kementerian Kesihatan agar dapat membuktikan hasil pelaburan kerajaan dengan mencurahkan khidmat bakti kepada negara dan masyarakat dengan sebaik-baiknya.

    “Khidmat bakti yang jujur lagi ikhlas ini bukan sahaja menjadi sumbangan mulia yang tidak ternilai harganya kepada negara dan pencapaian perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terbaik yang dapat dinikmati oleh rakyat dan penduduk di negara ini,” jelas Dayang Sufinah lagi.

    Sepanjang minggu induksi berkenaan, Dayang Sufinah turut mengingatkan para pegawai baharu untuk mengamalkan sikap positif dan membina komitmen tinggi untuk berjaya serta akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memikul tanggungjawab bersama-sama warga perkhidmatan awam yang lain untuk menjaga nama baik Kementerian Kesihatan.

    Para pegawai baharu juga diseru untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pegawai kerajaan dengan sebaiknya dan mematuhi segala peraturan disiplin yang telah ditetapkan demi kesejahteraan serta pembangunan diri.

    Antara aktiviti yang dikendalikan sepanjang kursus berkenaan termasuk taklimat daripada ketua-ketua pengarah, pengarah dan pegawai daripada jabatan dan bahagian di bawah Kementerian Kesihatan serta agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Biro Mencegah Rasuah, Jabatan Adat Istiadat Negara, Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja dan Universiti Brunei Darussalam serta mengadakan lawatan ke Pusat Promosi Kesihatan dan pembangunan pasukan di Hutan Simpan Berakas.

    Tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada salah seorang pegawai baharu yang diraikan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda