Bina masa depan digital

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Menteri-menteri yang bertanggungjawab bagi Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat serta Komunikasi (ICT) dari Telekomuniti Asia-Pasifik (APT) yang bertemu di Singapura menyatakan komitmen untuk merealisasikan hubungan digital di masa depan di rantau itu dengan menerima pakai ‘Kenyataan Singapura bagi Pewujudan Bersama Hubungan Digital di Masa Depan di Asia Pasifik’.

Mewakili Brunei Darussalam pada mesyuarat yang diadakan selama dua hari bermula kelmarin itu ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi, Keselamatan Siber, Strategi dan Korporat) Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim serta para pegawai dari kementerian berkenaan dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI).

Semasa permesyuaratan tersebut, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi telah menyampaikan satu kenyataan tentang transformasi digital dan inovasi digital dan kreativiti.

Sementara itu pada sebelah malam kelmarin, Presiden Republik Singapura, Puan Yang Terutama Halimah Yacob telah menganjurkan Majlis Makan Malam Gala Mesyuarat Menteri ICT Asia-Pasifik 2019 di Istana bagi meraikan Ulang Tahun ke-40 penubuhan APT.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi ketika mengadakan Rundingan Tidak Rasmi Negara Brunei Darussalam-Malaysia-Singapura dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, TYT Gobind Singh Deo dan Menteri Komunikasi dan Maklumat Singapura, TYT S Iswaran pada 25 Jun lalu.