SANDAKAN, 29 April – Masjid baharu bernilai RM10 juta yang akan dibina di Taman Merpati di sini merupakan kepekaan dan tanggungjawab kerajaan dalam menyediakan kemudahan selesa kepada penduduk beragama Islam di sekitar taman itu, kata Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.
Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa peka dengan menunaikan permintaan rakyat untuk kebaikan mereka.
Katanya masjid itu yang akan dibina dalam tempoh 21 bulan mampu memuatkan 2,000 jemaah dengan reka bentuk bangunan bercirikan tempatan.
Menurutnya pembinaan masjid baharu ini sudah lama diminta oleh jawatankuasa Masjid At-Taqwa Taman Merpati kerana masjid sedia ada tidak dapat menampung jumlah jemaah disebabkan pertambahan penduduk.
“Saya berunding dengan setiausaha kewangan negeri untuk mencari kewangan untuk membangunkan masjid di sini. Setelah rundingan beberapa bulan kita akan cari kewangan RM10 juta untuk membina masjid ini.

“Berkat doa penduduk taman ini, kerajaan negeri akhirnya mendapat peruntukan untuk membina masjid ini dan akan siap dalam tempoh 21 bulan,” katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah projek Masjid Baharu At-Taqwa Taman Merpati di sini, hari ini.
Musa yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga pada Pilihan Raya Umum Ke-14 ini berkata sebagai kerajaan, BN sedar akan tanggungjawab terhadap rakyat di negeri ini dan seluruh negara.
Dalam pada itu, Pengerusi Masjid At-Taqwa Taman Merpati Ajib Rashid Kamsiran ketika ditemui pemberita berkata pihaknya bersyukur keana permohonan kepada kerajaan negeri untuk membina masjid baharu akhirnya tercapai.
Katanya masjid sedia ada dibina sejak 20 tahun lalu dan tidak lagi dapat menampung jumlah jemaah yang bertambah khususnya ketika solat Jumaat dan solat sunat Hari Raya. – Bernama