Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Dengan membawa tema Futuring Together: Integrating Lifelong Learning with Sustainable Practices for Healthier Communities and Environment, Persidangan Antarabangsa ke-2 Meneroka Neksus Kesihatan Awam, Alam Sekitar dan Pendidikan menutup tirainya dengan majlis penutup yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.
Pengarah Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (C3L), Profesor Madya Dr Jose Hernandez Santos dalam ucapan penutupnya menyatakan bahawa sepanjang persidangan berkenaan telah menyaksikan pertukaran idea, perbincangan yang memberikan inspirasi dan penjalinan hubungan kerjasama yang baharu.
Beliau menambah bahawa kehadiran dan penyertaan aktif para peserta telah menjadikan persidangan satu kejayaan yang luar biasa.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil dan cenderahati penghargaan serta penyampaian hadiah bagi pertandingan poster di mana bagi kategori pendidikan dimenangi oleh Muhammad Faris Kalong, kategori pembelajaran sepanjang hayat dimenangi oleh Wali Khan Monib dan kategori penjagaan kesihatan dimenangi oleh Hein Minn Tunn.
Persidangan berkenaan merupakan anjuran bersama Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (L3C), Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (IHS) dan Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE), UBD yang mengetengahkan pengintegrasian pembelajaran sepanjang hayat dengan amalan-amalan mampan, menekankan kepentingan kesihatan dan alam sekitar.



Ia bertujuan untuk memupuk pendekatan pelbagai disiplin bagi mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG) dan menggalakkan kerjasama serta pemikiran ke hadapan antara profesional, pendidik dan penggubal dasar demi mewujudkan komuniti dan persekitaran yang lebih sihat dan mampan.
Selain itu, persidangan turut melibatkan kerjasama antara Kolej Sains Kesihatan Jerudong Park Medical Centre (JPMC), Brunei SDG di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan L3C di bawah Kementerian Pendidikan.
Sementara itu, tuan rumah bersama persidangan dari luar negara ialah Universiti Mahidol, Thailand; Universitas Indonesia; Universiti Kagawa, Jepun; Universiti Malaysia Sabah; Universiti Sunway, Malaysia; dan Universiti Far Eastern, Filipina.
Persidangan dua hari bermula kelmarin itu berfungsi sebagai platform penting untuk dialog, dengan pertukaran gagasan dan usaha kolaboratif tidak hanya didorong tetapi juga dianggap sebagai alat penting bagi inovasi.
Ia juga bertujuan untuk memajukan pendekatan pelbagai disiplin dalam mencapai SDG dan menggalakkan strategi kolaboratif dan berfikiran ke hadapan dalam kalangan profesional, pendidik dan penggubal dasar.
Bersempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE 2024), persidangan itu merupakan platform dinamik bagi pendidik, penyelidik, penggubal dasar, dan pengurus pembelajaran sepanjang hayat di seluruh dunia untuk bertukar pandangan, berkongsi amalan terbaik serta membincangkan masa depan pendidikan yang inklusif iaitu selaras dengan matlamat SDG global.

