Thursday, March 20, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bina masyarakat inklusif

    Oleh Imelda Groves HA

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Setiap orang perlu dihargai tanpa mengira kebolehan atau kekurangan mereka, agar mereka benar-benar menjadi masyarakat inklusif yang mendorong kepada perubahan positif melalui kerjasama pelbagai pihak seterusnya memajukan rakyat yang mampu menyumbang dan berkongsi kemajuan negara.

    Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen (gambar) menekankan perkara itu ketika berkenan bersabda pada Majlis Perasmian Bangunan Baru (Blok Pemulihan) Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Fasa 1 di Kampung Bengkurong hari ini.

    Sabda Yang Teramat Mulia lagi, pembangunan blok berkenaan sangat bermakna kerana ia merupakan manifestasi kerjasama sokongan awam dan swasta dipandu amalan pemedulian dan penyayang masyarakat yang mampu memperbaiki kehidupan individu berkeperluan khas di negara ini.

    Sehubungan itu, Yang Teramat Mulia turut memuji budaya masyarakat Brunei yang dibina atas rasa prihatin dan menyayangi orang lain sekali gus menjadikan golongan berkeperluan khas ini masyarakat inklusif melalui penyertaan aktif antara Pusat Ehsan dan perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    Yang Teramat Mulia bersabda, “Semangat inilah yang diperlukan untuk mengintegrasikan golongan kelainan fizikal dan mental ke dalam masyarakat majmuk. Namun masih banyak yang perlu diungkayahkan dalam aspek ini termasuk mendorong perubahan positif dalam kerjasama dengan rakan perkongsian dan memajukan rakyat yang lebih aktif serta berkewajipan terhadap satu sama lain.

    Yang Teramat Mulia turut mendoakan agar Pusat Ehsan terus menggiatkan usaha membantu orang-orang berkeperluan khas selain membekalkan mereka dengan kemahiran untuk menjadi ahli masyarakat yang signifikan di negara ini.

    Di akhir sabda, Yang Teramat Mulia juga menyambut baik perkembangan bagi empat fasa dalam rancangan pembangunan semula Pusat Ehsan dan menyeru agar semua sektor menyokong usaha murni itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda