Friday, January 31, 2025
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bina persekitaran sejagat aman, damai

    Oleh Sim Y. H. dan Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memperkenankan penubuhan Skuadron Pesawat Taktikal Armada dan pembesaran Skuadron Peronda bagi Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB).

    “Skuadron Pesawat Taktikal Armada ini, akan mengawasi lebih jauh lagi kawasan maritim Zon Ekonomi Eksklusif negara.

    “Manakala pembesaran Skuadron Kapal Peronda berikutan dengan pentauliahan KDB AS-SIDDIQ baru-baru ini, adalah untuk menampung keperluan dan memperluaskan lagi skop operasi maritim khusus di perairan persisiran pantai negara,” titah Baginda Sultan semasa berkenan berangkat ke Upacara Perbarisan Raksasa Sambutan Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-62 di Pangkalan Tentera Udara Rimba, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), hari ini.

    Terdahulu Baginda menekankan dalam keadaan sekarang, semua negara kecil dan besar sama-sama perlu membina persekitaran dalaman, kawasan rantau dan sejagat yang aman dan damai.

    “Oleh itu, ABDB perlu terus komited dalam menjaga kedaulatan dan keamanan Negara Brunei Darussalam, sambil dalam masa yang sama, menghormati dan memperbaiki hubungan dengan negara-negara lain.”

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengunjungi petak pameran sempena Upacara Perbarisan Raksasa Sambutan Ulang Tahun ABDB ke-62 di Pangkalan Tentera Udara Rimba, TUDB.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah.

    Baginda bertitah, “Kita sedia menyedari bahawa membina kekuatan bukanlah kerja yang mudah, ia sangat bergantung pada keutuhan organisasi dan keberkesanan kepimpinan.

    “Pada hemat Beta, ABDB yang kecil boleh menjadi kuat dengan adanya kesatuan yang kukuh dan berkebijaksanaan membentuk struktur serta mempunyai keupayaan tempur, kapasiti anggota, logistik dan kepimpinan yang berkualiti.

    “Mengenai kepimpinan, Beta sangat berharap supaya model kepimpinan ABDB yang berpaksikan nilai-nilai teras ABDB, Maqasid Syariah dan falsafah Melayu Islam Beraja, akan benar-benar dapat difahami, dihayati dan diamalkan sebagai panduan utama oleh semua peringkat pemimpin ABDB.”

    Dalam konteks keberkesanan pertahanan, Baginda merakamkan perasaan gembira dengan pencapaian operasi sepadu sekuriti dan sempadan darat di bawah teraju Markas Angkatan Bersama ABDB yang dilaksanakan melalui pendekatan seluruh kerajaan, whole of government approach, dan pendekatan senegara, whole of nation, dengan keterlibatan langsung Unit Batalion Trup Risik, Skuadron Bot Tempur Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Skuadron Unmanned Aerial System (UAS) TUDB, TLDB serta agensi-agensi penguat kuasa undang-undang kebangsaan lainnya serta tidak terkecuali juga, penglibatan institusi mukim dan kampung melalui Pengawasan Kejiranan di seluruh negara.

    “Hasil operasi sepadu telah mencapai banyak kejayaan dalam menyumbang penurunan trend kes-kes tangkapan sejak penubuhan kawasan-kawasan operasi (AOP) di beberapa tempat strategik dan hot spots seluruh negara, sejak April 2020, apabila negara berhadapan dengan gelombang pandemik COVID-19.”

    Sementara itu, dalam pembangunan modal insan, Baginda menekankan kita boleh berbangga dengan institusi pendidikan dan latihan di ABDB telah mencapai kejayaan-kejayaan signifikan. Kursus-kursus dan program yang dijalankan di Akademi Pertahanan, Institut Latihan ABDB, sekolah-sekolah latihan tentera darat, tentera laut dan tentera udara telah memperoleh pengiktirafan kebangsaan dan antarabangsa.

    “Ini dapat dilihat daripada permintaan yang tinggi oleh angkatan-angkatan tentera sahabat bagi mengikuti kursus-kursus profesional di ABDB. Pada tahun ini sahaja, Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan, Sekolah Infantri Tentera Darat Diraja Brunei dan Pusat Latihan Tentera Laut Diraja Brunei telah menerima penuntut dari luar negara buat pertama kalinya.

    “Beta gembira mulai tahun ini, ABDB melalui Institut Latihan ABDB akan berupaya menghasilkan seramai 960 anggota tentera yang terlatih berbanding sebelumnya hanya 540 anggota setahun.

    “Beta percaya dengan perkembangan ini, ABDB mampu untuk mengisi jawatan-jawatan yang sudah lama kosong sejak beberapa tahun ini dan mengukuhkan lagi bilangan tentera yang terlatih, di samping, memberi peluang pekerjaan kepada belia-belia dan beliawanis yang mencari pekerjaan,” tekan Baginda.

    Baginda Sultan turut merakamkan perasaan gembira dengan penglibatan angkatan-angkatan tentera udara negara sahabat, dalam mempamerkan pesawat-pesawat strategik mereka di mana semua itu mencerminkan perpaduan dan hubungan diplomasi pertahanan yang kukuh, di antara negara-negara sahabat dan Negara Brunei Darussalam.

    Sementara itu, turut memeriahkan lagi ialah penglibatan syarikat-syarikat pertahanan tempatan dan luar negara, mempamerkan produk-produk industri pertahanan masing-masing.

    “Beta juga sangat teruja dan bangga dengan komitmen berterusan di kalangan mantan-mantan perajurit ABDB dalam sama-sama membangun dan menjaga kesejahteraan negara.

    “Walaupun mereka sudah bersara daripada perkhidmatan tentera namun masih aktif dengan kerja-kerja berkebajikan seperti menjadi sukarelawan dalam pertubuhan-pertubuhan tertentu, malah ada juga yang berjaya dalam perniagaan, dilantik sebagai pemimpin di peringkat akar-umbi dalam institusi kampung dan mukim dan dilantik menjadi ahli di dalam Majlis Mesyuarat Negara mewakili zon-zon tertentu.”

    “Ini contoh-contoh terbaik yang boleh menjadi inspirasi kepada generasi penerus pada masa hadapan.

    “Beta ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka dan berharap Persatuan PERWIRA akan terus berperanan menyatupadukan pesara-pesara atau veteran ABDB dalam usaha memelihara keselamatan dan keamanan negara,” titah Baginda.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda