Monday, April 14, 2025
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bina potensi diri melalui pendidikan, aktiviti kokurikulum

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Universiti Brunei Darussalam (UBD) sebagai universiti peneraju di negara ini, memainkan peranan penting dalam memperkasakan para pelajar untuk menjadi graduan yang memiliki kecekapan, kemahiran dan nilai kemanusiaan yang tinggi serta menjadi alumni yang membanggakan dan berdaya saing.

    UBD adalah komited untuk membentuk pemimpin masa depan yang berdaya saing, siap menghadapi cabaran dan menghormati nilai-nilai murni yang berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja.

    Oleh itu, adalah diharapkan para pelajar akan aktif dalam pembelajaran dan aktiviti kokurikulum demi mengembangkan potensi dan kemahiran kehidupan untuk mengharungi masa depan yang serba mencabar.

    Harapan itu disuarakan oleh Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle dalam ucapan khas naib canselor semasa Majlis Minggu Pelajar Baharu Sesi Akademik 2024/2025 Pengambilan Ogos 2024 yang berlangsung di Dewan Canselor UBD, hari ini.

    Beliau menasihatkan para pelajar untuk jangan berguru atau belajar sambil lewa kerana sudah pasti mereka tidak akan berkembang menjadi insan yang sempurna.

    Dr Hazri semasa menyampaikan ucapannya. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    “Demi memastikan kejayaan akan dapat digenggam oleh para pelajar nanti, amalkanlah minda yang terbuka, semangat yang tinggi, tumpuan yang tinggi, ketekalan dan sokongan persekitaran.”

    Beliau seterusnya menyarankan kepada para pelajar untuk meng-gunakan peluang di menara gading untuk menimba ilmu dengan berkesan supaya berjaya meraih ilmu, kemahiran, keterampilan dan berkembang menjadi insan yang sihat, menarik perhatian dan berguna kepada bangsa, agama dan negara serta menjadi warga dunia yang terbilang serta berakhlak mulia.

    “Pelajar sedemikian ini akan tampil berkeyakinan mengharungi segala rintangan dan menunjukkan pelbagai potensi, menciptakan pelbagai kemungkinan serta berupaya memanfaatkan pelbagai peluang.”

    Dr Hazri dalam ucapan khasnya seterusnya menyeru para pelajar untuk merebut setiap peluang untuk belajar, berkembang dan menyumbang kepada masyarakat.

    Beliau menyatakan lagi bahawa para pelajar harus ingat akan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin dan pemikir untuk negara pada masa hadapan serta ingat akan moto universiti, Mendepan Bersama, di mana ia merangkumi misi bersama untuk memupuk pemikiran inventif dan kritikal, mencari penyelesaian kepada cabaran-cabaran global serta membentuk masa depan yang lebih cerah untuk Brunei.

    “Ia adalah amat penting bahawa awda, sebagai pelajar, kekal proaktif dan progresif dalam semua aspek kehidupan, peka terhadap isu tempatan dan global,” katanya.

    “Awda bukan sahaja pelajar tetapi warganegara masa depan dan pemimpin global yang mesti menerima kreativiti, pemikiran kritis dan pandangan futuristik dalam usaha awda ke arah matlamat pembangunan mampan.”

    Dalam ucapannya lagi, Dr Hazri mengongsikan mengenai inisiatif penting dan peluang yang terdapat di UBD di mana universiti itu adalah komited kepada kerjaya penentu masa depan dengan melengkapkan para pelajar dengan kemahiran yang diperlukan menerusi pelbagai aktiviti hal ehwal pelajar.

    UBD tambahnya lagi, juga sedang menjana sebuah ekosistem kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar di mana menerusi integrasi AI dalam rangka kerja pendidikan, ia dapat mengoptimumkan pengalaman pembelajaran.

    Dr Hazri juga menyatakan bahawa UBD terus komited untuk memupuk gelombang pemimpin global seterusnya dengan mengutamakan kesejahteraan pelajar, daya tahan dan pembangunan kepimpinan.

    Oleh itu, UBD akan terus mengukuhkan rangkaian sokongan dan menyediakan kaunseling efektif untuk meningkatkan kesejahteraan, kesihatan mental dan daya tahan pelajar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda