KUALA LUMPUR, 15 NOV – Perumahan khusus bagi warga emas perlu dibangunkan di Kuala Lumpur memandangkan bandar raya ini dijangka menjadi bandar menua menjelang 2040, demikian menurut Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040).
PSKL2040 menjangkakan jumlah penduduk warga emas adalah lebih tinggi iaitu 17.3 peratus pada 2040 berbanding 9.2 peratus pada 2025.
Menurut PSKL2040, pembinaan rumah khusus bagi warga emas yang digalakkan termasuk rumah persaraan bagi kehidupan berdikari, rumah persaraan lengkap dengan bantuan perubatan serta rumah penjagaan warga emas.
“Ini membolehkan warga emas hidup berdikari dengan penyediaan kemudahan khusus untuk membantu mereka hidup sendiri. Bagaimanapun, kesesuaian rumah persaraan dengan bantuan perubatan di kawasan kediaman perlu dikaji dengan terperinci,” menurut dokumen itu.
Pembangunan rumah khusus bagi warga emas digalakkan untuk dijual, dipajak atau disewa kepada golongan ini dan pembangunannya boleh sama ada di dalam zon kediaman atau perdagangan dengan mengambil kira kesesuaian semasa.
Kawasan perumahan yang mempunyai komuniti persaraan yang ramai juga digalakkan untuk menyediakan ruang sosial dan kemudahan awam yang bersesuaian.
Selain itu, rumah persaraan perlu dilengkapi dengan kemudahan yang mengambil kira prinsip asas reka bentuk sejagat seperti kelengkapan mesra warga emas termasuk alat amaran kecemasan dan keselamatan bagi membolehkan warga emas hidup dengan selesa berdasarkan kemampuan fizikal tanpa bantuan. – Bernama


