Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Seminar Antarabangsa Perundangan Islam Dalam Masyarakat Kontemporari (ISLAC) 2021 yang berlangsung selama dua hari telah melabuhkan tirainya semalam dengan majlis penutup secara dalam talian.
Seminar berkenaan dikendalikan bersama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) dengan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dalam ucapan penutup berkata, tema seminar berkenaan iaitu ‘Kesejagatan Perundangan Islam dalam Menongkah Arus Pandemik COVID-19 dan Norma Baharu’ sangat bertepatan dan relevan untuk mencari penyelesaian dalam menghadapi COVID-19 yang mengalami lonjakan kes penularan dengan berkembangnya varian baharu.
Seminar berkenaan menjadi salah satu usaha memberikan pengetahuan dan celik COVID-19 kepada para akademik dan segenap masyarakat supaya sentiasa mendapat maklumat terkini dalam menghadapi masa pandemik ini.
Antara objektif seminar adalah untuk mengenal pasti isu-isu kontemporari umat Islam di Malaysia dan antarabangsa dalam suasana COVID-19 masa kini.
Pada seminar itu, Pengarah Unit Perundangan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Hardifadhillah bin Mohd Salleh telah menyampaikan ucapatama bertajuk ‘Pendekatan
Pihak Berkuasa Ugama Brunei dalam Mendepani Cabaran Pandemik COVID-19 dari Perspektif Maqasid al-Syariah’.
Turut menyampaikan ucaptama ialah Pensyarah dan Pengarah Pejabat Wakaf dan Infaq
UniSZA, Profesor Madya Dr Engku Muhammad Tajuddin Engku Ali dengan tajuk ‘Instrumentasi Kewangan Islam di Era COVID-19’.
Majlis penutup seminar menyaksikan penyampaian resolusi oleh Pengerusi ISLAC 2021, Profesor Madya Dr Wan Mohd Khairul Firdaus bin Wan Khairuddin dan pengumuman anugerah kertas kerja terbaik.