Tuesday, July 15, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang dasar pendidikan rantau APEC

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MEI – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan APEC ke-7 (AEMM) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Jeju, Republik Korea pada 13 hingga 15 Mei.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, turut mengiringi Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah ke mesyuarat berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr Chin Wei Keh dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan.

    Seramai 20 daripada 21 menteri atau wakil ahli ekonomi APEC menghadiri mesyuarat berkenaan, di mana perbincangan bertumpu pada cabaran dan hala tuju strategik untuk masa depan pendidikan.

    Selain itu, mesyuarat itu bertujuan untuk memupuk pertukaran panda-ngan dan amalan terbaik dalam inovasi pendidikan, menangani cabaran dalam era digital serta meneroka peluang untuk kerjasama serantau yang lebih kukuh.

    Republik Korea sebagai Pengerusi APEC 2025 bertujuan untuk memajukan pembangunan pendidikan inklusif dan berdaya tahan di seluruh rantau ini. Mesyuarat tahun ini yang membawa tema, Merapatkan Jurang Pendidikan dan Menggalakkan Pertumbuhan Inklusif dalam Era Transformasi Digital, dirasmikan oleh Pemangku Presiden, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Republik Korea, Tuan Yang Terutama Lee Ju-Ho.

    Dalam ucapannya, TYT Lee Ju-Ho menekankan kepentingan menangani cabaran baharu, terutamanya kesan transformatif teknologi digital dan kecerdasan buatan, seiring dengan perubahan iklim dan perbezaan sosio-ekonomi.

    Beliau turut menggariskan peranan APEC dalam menangani cabaran global, daripada krisis kewangan hingga isu kesihatan, melalui kerjasama dan perpaduan.

    Semasa mesyuarat berkenaan, Menteri-menteri Pendidikan APEC telah berkongsi pandangan dan amalan terbaik mengenai beberapa topik sub-tema termasuk Transformasi dan Inovasi Pendidikan yang Dipersonalisasikan serta Pemantapan Pendidikan Berkualiti dan Pertumbuhan Ekonomi yang Mampan.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah berpeluang untuk berkongsi hala tuju strategik dan inisiatif-inisiatif pendidikan Negara Brunei Darussalam termasuk Pelan Transformasi Digital Kementerian Pendidikan 2023-2027, Projek Peningkatan Infrastruktur Rangkaian Sekolah dan program latihan kecerdasan pendidikan kebangsaan bagi pendidik.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan bergambar ramai semasa Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan APEC ke-7 baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda