Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Bincang inisiatif dukung amalan munajat

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Subtema Dasar Kerajaan yang Mendukung Amalan Munajat dan Kaitannya dengan Taubat telah dibincangkan pada hari kedua Seminar Majlis ilmu 2023 yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada seminar anjuran Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Pada seminar itu, kertas kerja bertajuk Peranan Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dalam Mendukung Amalan Munajat telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman.

    Beliau antara lain menjelaskan peranan PDI dalam mendukung amalan munajat sesuai dengan visi dan misinya melalui usaha-usaha yang diungkayahkan oleh bahagian-bahagian dan unit-unit di bawahnya.

    Manakala, Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Haji Amir Hisham bin Haji Masri telah menyampaikan kertas kerja bertajuk Peranan Hal Ehwal Masjid dalam Mendukung Amalan Munajat Senegara.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi hadir selaku tetamu kehormat majlis. – GAMBAR OLEH ROKIAH MADMUD
    Pembentang-pembentang yang membincangkan subtema Dasar Kerajaan yang Mendukung Amalan Munajat dan Kaitannya dengan Taubat. – GAMBAR OLEH ROKIAH MADMUD

    Beliau menyentuh akan peranan dan fungsi masjid kepada berbagai-bagai golongan masyarakat, khasnya peranan JHEM yang bertanggungjawab menjadikan institusi masjid sebagai induk kepada pentadbiran, pemeliharaan (riayah) dan pengimarahannya untuk aktiviti keagamaan seperti munajat dan sebagainya.

    Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Pengajian Islam (JPI), Hajah Mariana binti Haji Jamil pula menyampaikan kertas kerja bertajuk Inisiatif Institusi-institusi Pendidikan Agama dalam Mendukung Amalan Munajat.

    Antara inti pati yang dapat diambil dalam pembentangan tersebut adalah sumbangan institusi pendidikan agama dalam mendukung amalan munajat dengan memberikan pengajaran dan bimbingan kepada pelajar-pelajar serta pada masa sama membantu menyebarkan kesedaran dan pemahaman kepada masyarakat mengenai kepentingan amalan yang perlu dilaksanakan dengan penuh rasa keikhlasan dan keyakinan semata-mata kerana Allah SWT.

    Seminar tersebut turut dibukakan kepada pegawai dan kakitangan dari pelbagai kementerian dan agensi swasta serta orang awam yang berminat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...