BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar telah mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-11 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan dan Mesyuarat Khas Menteri-menteri ASEAN mengenai Kebangkitan Radikalisme dan Keganasan Melampau (SAMMRRVE) ke-2 yang berlangsung selama empat hari hingga kelmarin di Manila, Filipina.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Dato Seri Paduka Haji Hamdan telah menyampaikan kenyataan semasa AMMTC ke-11 dengan mengulang komitmen teguh Negara Brunei Darussalam untuk bekerja dengan semua negara anggota ASEAN dan rakan-rakannya untuk mengukuhkan kerjasama antarabangsa dalam perjuangan bersama menentang jenayah rentas sempadan.
Beliau juga telah memaklumkan sidang mesyuarat mengenai kejayaan kes sabitan pertama Brunei di bawah Perintah Pemerdagangan dan Penyeludupan Manusia 2014 bagi penglibatan dalam penyeludupan manusia dan menguruskan kemasukan individu tanpa kebenaran ke Brunei Darussalam.
Timbalan menteri juga menyatakan bahawa AMMTC dan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) memainkan peranan penting dalam memastikan bahawa komuniti ASEAN selamat dan terjamin menerusi usaha-usaha dan kerjasama kolektif.
Ia merupakan platform di mana negara anggota ASEAN dapat berkongsi maklumat, pengetahuan, kepakaran, amalan-amalan baik dan perkongsian maklumat termasuk bersama rakan-rakan dialog.

Dalam satu kenyataan bersama, pemimpin-pemimpin AMMTC telah menyetujui beberapa perkara antaranya mengalu-alukan cadangan SOMTC untuk menubuhkan Kumpulan Kerja SOMTC mengenai Penyeludupan Haram Hidupan Liar dan Balak; menerima pakai Pelan Tindakan Komprehensif ASEAN mengenai Pencegahan Pengganasan yang telah diubah; menerima pakai Bidang Rujukan AMMTC untuk memudahkan kerjasama dan penyelarasan dalam mencegah dan mengatasi jenayah rentas sempadan di rantau ini.
Selain itu, mereka juga bersetuju untuk menerima pakai Deklarasi Manila untuk Mencegah Kebangkitan Radikalisme dan Keganasan Melampau; dan menyokong Deklarasi ASEAN untuk Mencegah dan Memerangi Jenayah Siber.
Menurut kenyataan itu lagi, Dato Seri Paduka Haji Hamdan juga menghadiri dan menyampaikan kenyataan semasa SAMMRRVE ke-2 di mana beliau mengetengahkan inisiatif-inisiatif Brunei Darussalam untuk mengatasi isu radikalisme dan keganasan melampau berdasarkan pendekatan seluruh kerajaan, mengenal pasti jurang dan mengukuhkan rangka kerja undang-undang Brunei.
Mesyuarat berkenaan antara lain juga telah memutuskan untuk mengambil langkah kolaborasi untuk menangani ancaman keganasan melampau yang muncul di rantau ASEAN; menggalakkan penglibatan pelbagai sektor seperti akademik dan polis dalam mencegah radikalisme dan keganasan melampau; merumuskan pelan tindakan serantau dalam mencegah kebangkitan radikalisme dan keganasan melampau sebagai sebahagian daripada SOMTC/AMMTC; dan sebagainya.
Ahli delegasi Brunei yang lain ke mesyuarat-mesyuarat berkenaan termasuk Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos selaku ketua SOMTC Brunei Darussalam serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.
AMMC ke-12 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan akan diadakan di Myanmar pada tahun depan.