Tuesday, October 8, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang isu-isu semasa perundangan

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Seramai 31 orang delegasi yang terdiri daripada Ketua Hakim Syarie, hakim-hakim syarie Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah serta ketua pendaftar dan para pegawai dari Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah bersama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah mengadakan lawatan rasmi ke Bahagian Pendakwaan Syarie, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Negara Brunei Darussalam bertempat di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Lawatan terdahulu dimulakan dengan kunjungan hormat kepada Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Semasa kunjungan tersebut, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim berkesudian menyerahkan cenderahati kepada ketua delegasi, Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah, Yang Amat Arif Datuk Ahadin bin Arinen, dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Perak selaku wakil Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Yang Arif Dato’ Mohamad Shakir bin Haji Abdul Hamid.

    Sesi kunjungan hormat itu disusuli dengan sesi Diskusi Dua Hala bersama Bahagian Pendakwaan Syarie, yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji lbrahim.

    Sesi turut dihadiri oleh Pemangku Ketua Pendakwa Syarie, Hajah Hadiyati binti Haji Abdul Hadi.

    Perjumpaan tersebut bukan sahaja menjadi platform untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan perundangan tetapi juga bertujuan meningkatkan dan menjalin hubungan strategik serta mengeratkan silaturahim di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.

    Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Nur Ezira Mahadi.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim mengadakan perbincangan dengan Yang Amat Arif Datuk Ahadin semasa kunjungan hormat berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda