Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Sejak penubuhannya, Western Pacific Naval Symposium (WPNS) telah mengecap pelbagai pencapaian dalam menangani isu-isu maritim dan ancaman yang terus berubah dalam era globalisasi.
Antara pencapaian itu ialah ratifikasi The Code of Unplanned Encounters at Sea Steering Commitee Terms of Reference dan ratifikasi Panduan Bantuan Bencana, jelas Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei, Laksamana Pertama Haji Othman bin Haji Suhaili @ Suhaily ketika berucap pada Perasmian Bengkel WPNS ke-28 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.
Beliau berkata lagi bahawa pertukaran profesional, dialog, kepercayaan bersama dan kerjasama antara tentera laut di seluruh dunia merupakan asas kepada menyediakan bimbingan dan strategi dalam usaha bersepadu mereka.
Dalam ucapannya lagi, Laksamana Pertama Haji Othman menekankan bahawa matlamat utama WPNS ialah membangunkan kerjasama dan keupayaan untuk beroperasi bersama serta membina kepercayaan dan keyakinan antara tentera-tentera laut dengan menyediakan rangka kerja untuk membolehkan perbincangan isu-isu maritim berkepentingan bersama, pertukaran ilmu pengetahuan dan maklumat, amalan dan demonstrasi keupayaan serta pertukaran anggota.
Oleh itu, tekannya lagi, adalah amat penting bengkel tersebut diadakan dalam membina lagi objektif-objektif berkenaan, di samping meneroka dan membincangkan inisiatif-inisiatif serta hala tuju masa depan WPNS.

Bengkel WPNS ke-28 dikendalikan oleh Tentera Laut Diraja Brunei bermula hari ini hingga 2 Mei dengan dipengerusikan oleh Kapten Norshahrinizam bin Haji Talib.
Ia dihadiri oleh perwakilan dari 17 buah negara ahli WPNS termasuk Amerika Syarikat, Australia, Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Jepun, Kanada, Malaysia, New Zealand, Perancis, Peru, Republik Rakyat China, Republik Filipina, Republik Korea, Rusia, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Turut hadir ialah perwakilan dari enam buah negara pemerhati iaitu Bangladesh, Colombia, India, Pakistan, Sri Lanka dan United Kingdom.
Bengkel WPNS diadakan setiap tahun dan menumpukan kepada membincangkan inisiatif-inisiatif sedia ada serta aktiviti-aktiviti dan cadangan baharu.
Ini antara lainnya merangkumi perbincangan mengenai WPNS 2018, International Fleet Review, Short Term Exchange Programme (STEP) 2018, Ship Rider Programme, 2nd WPNS Junior Officers Interaction Programme 2019, pindaan kepada Code of Unplanned Encounters at Sea (CUES), International Maritime Conference and Exhibition for Defence (IMDEX) 2019 dan pelaksanaan Information Fusion Centre (IFC) di Peru.
Sejak ditubuhkan pada 1988, WPNS telah berkembang menjadi platform yang bernilai tinggi bagi tentera-tentera laut dari negara-negara anggota di rantau Pasifik Barat untuk membina persefahaman dan kepercayaan serta meneruskan aktiviti-aktiviti kerjasama ke arah memastikan keselamatan maritim.
Pengukuhan hubungan kerjasama sedemikian dibolehkan melalui pelbagai aktiviti-aktiviti maritim, perkongsian maklumat dan pertukaran profesional.
Ini merupakan kali pertama bengkel WPNS diadakan di Negara Brunei Darussalam.
Bengkel WPNS yang seterusnya akan dikendalikan oleh Tentera Laut Republik Filipina pada 2020.
Di samping itu, Tentera Laut Republik Filipina juga akan menganjurkan Simposium WPNS ke-17 pada 2020.