SEOUL, 11 JULAI – Ketua tentera tertinggi Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun hari ini bertemu di Seoul, ketika Presiden AS, Donald Trump memberi tekanan kepada sekutu Washington berhubung perbelanjaan pertahanan dan perdagangan.
Pegawai tertinggi tentera AS, Jeneral Dan Caine mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Korea Selatan, Kim Myung-soo dan Jeneral Jepun, Yoshihide Yoshida, sebagai sebahagian daripada mesyuarat tahunan mengenai keselamatan serantau.
Mereka membincang hubungan ketenteraan yang semakin meningkat antara Moscow dan Pyongyang, yang telah menghantar senjata dan beribu-ribu tentera untuk perang Rusia di Ukraine.
Rundingan itu meliputi potensi pemindahan teknologi ketenteraan dari Rusia ke Republik Demokratik Rakyat Korea, kata tiga ketua tentera dalam satu kenyataan yang menggunakan nama rasmi Korea Utara.
Mereka menyeru Korea Utara supaya menghentikan segera semua aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Bercakap pada permulaan rundingan tiga hala, Caine berkata, “Korea Utara dan China berusaha mempertingkatkan kempen ketenteraan yang belum pernah berlaku sebelum ini dengan tujuan melaksanakan agenda mereka sendiri.
“Kami perlu berwaspada, kami perlu menunjukkan keazaman, mempunyai sifat keusahawanan dan proaktif dalam perkongsian,” tambahnya.
Secara berasingan, ketiga-tiga negara itu menjalani latihan udara bersama hari ini di pulau selatan di Korea Selatan, Jeju, melibatkan pesawat pengebom strategik B-52H AS, menurut Kementerian Pertahanan. Washington menempatkan kira-kira 28,500 tentera di Korea Selatan. – AFP
