Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang isu sekuriti digital, etika AI

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Isu mengenai sekuriti digital dan pertimbangan etika kecerdasan buatan (AI) diketengah serta dibentangkan semasa Persidangan Masa Depan Digital (DFC) 2024 yang berlangsung pada hari kedua di Dewan Bankuet, BRIDEX, Jerudong, hari ini.

    Persidangan yang dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dengan kerjasama Cyber Security Brunei (CSB), ITPSS Sdn Bhd dan Pocket itu adalah bersempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2024 (Brunei MYCE 2024), yang menyaksikan penyertaan lebih 350 orang peserta tempatan dan antarabangsa daripada wakil kerajaan, badan-badan berkanun, sektor swasta, industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta institut pengajian tinggi.

    Persidangan itu meneroka strategi bagi melindungi infrastruktur kritikal dan etika penggunaan teknologi AI, di mana sesi pagi persidangan dimulakan dengan panel perbincangan bertajuk Securing Critical Infrastructure: Safeguarding Assets, yang mengetengahkan barisan ahli panel iaitu Timbalan Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat, CSB, Awang Mohamad Azad Zaki bin Haji Mohd Tahir; Ketua Pegawai Eksekutif Flexxon Pte Ltd Singapura, Camellia Chan; Pengarah Kedayatahanan Digital dan Siber, Mastercard Data & Services, Fred Yap dan Pengurus Produk Sekuriti Siber, Unified National Networks (UNN), Erdiny Mugit.

    Sesi panel yang dikendalikan oleh Pengarah Urusan Confer Sdn Bhd, Allen Lai membincangkan tentang strategi-strategi dan teknologi untuk melindungi institusi-institusi utama daripada ancaman siber.

    Persidangan diteruskan dengan pembentangan bertajuk Jenayah Siber di Brunei Darussalam yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Siber, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Penguasa Polis Kanan Handrie bin Haji Amin.

    Sesi panel perbincangan bertajuk, Securing Critical Infrastructure: Safeguarding Assets. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Beliau mengongsikan contoh penipuan dunia sebenar yang berlaku dan berkongsi modus operandi penjenayah siber. Beliau turut menekankan pentingnya untuk sentiasa berwaspada dan mengambil peduli perihal ahli keluarga terutamanya mereka yang tidak celik digital.

    Seterusnya, perkongsian bertajuk Guide for AI Governance and Ethics in Brunei Darussalam, disampaikan oleh Pengurus Pejabat Perlindungan Data, AITI, Sekretariat Kumpulan Kerja Etika dan Urustadbir AI, Dayang Farah bin Zainal di mana beliau menggariskan tanggungjawab, etika dan kepercayaan dalam penggunaan teknologi AI untuk dipertimbangkan oleh organisasi apabila membangun, mereka bentuk, mengeluarkan dan menggunakan teknologi AI di dalam negara.

    Sesi pagi diakhiri dengan perbincangan bertajuk Protecting Our Society, yang membincangkan peranan masyarakat dalam sekuriti siber dengan tumpuan kepada bagaimana literasi digital boleh memperkasa individu dan organisasi untuk mengemudi ruang siber dengan selamat.

    Perbincangan itu menampilkan ahli-ahli panel yang terdiri daripada Ketua Pegawai Pemasaran, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohammad Jaafar; Ketua Pejabat Pelaburan Digital, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Raymond Siva; dan pengasas @ranoadidas, Awang Rano Iskandar dengan sesi dikendalikan oleh Pengurus Besar Kristal Media Sdn Bhd, Jenny Malai Ali.

    Sesi petang pula dimulakan dengan pembentangan khas mengenai iDentiti iaitu penyelesaian kelayakan yang disahkan dan identiti digital berasaskan blockchain yang disampaikan oleh Pegawai Operasi, ITPSS, Awang Muhammad Hanif bin Jumat.

    Persidangan diteruskan dengan pembentangan daripada Presiden Persatuan Sekuriti Siber Brunei (BCSA), Awang Muhammad Hakim bin Haji Bakri mengenai bagaimana BCSA mengumpulkan peminat, pakar dan profesional dalam sekuriti siber untuk bekerjasama, berkongsi ilmu pengetahuan dan menangani cabaran-cabaran ancaman siber yang berkembang.

    Acara diakhiri dengan pembentangan daripada Dayang Siti Nadzirah binti Zaini dan Norwaze Mustaqqem dari Tech One Global Ltd mengenai cara-cara menggunakan Microsoft Copilot sebagai teman AI harian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda