Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar telah menghadiri Mesyuarat Menteri Alam Sekitar Kumpulan 20 (G20) secara maya yang berlangsung pada 22 Julai lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan, hari ini, Negara Brunei Darussalam selaku pengerusi ASEAN 2021 telah dijemput sebagai tetamu pengerusi G20 oleh Republik Itali yang memegang jawatan presiden G20 bagi 2021.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Pemangku Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Dayang Martinah binti Haji Tamit serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe).
Mesyuarat yang bersidang dalam bentuk hibrid itu telah dipengerusikan oleh Menteri Peralihan Ekologi Republik Itali, Tuan Yang Terutama Roberto Cingolani serta dihadiri oleh menteri-menteri alam sekitar dan perwakilan dari negara-negara ahli G20, negara-negara jemputan khas serta pertubuhan-pertubuhan serantau dan antarabangsa.
Dua topik utama telah dibincangkan pada mesyuarat itu iaitu A Natural Capital to Protect and Manage yang menumpukan kepada penggunaan penyelesaian-penyelesaian yang berunsurkan alami dan kaedah-kaedah yang berdasarkan ekosistem bagi melindungi ekosistem, memberhentikan kehilangan bio-diversiti dan memulihkan kemerosotan tanah serta Joint Efforts for Sustainable and Circular Resource Use yang menumpukan kepada usaha-usaha bagi menangani serpihan laut dan sisa plastik serta peralihan ke arah ekonomi kitaran.

Pada mesyuarat itu, Yang Berhormat Dato telah mengongsi inisiatif-inisiatif ASEAN dalam melindungi dan menguruskan sumber semula jadi serta bio-diversiti yang terdapat di rantau Asia Tenggara serta kerjasama serantau dalam menangani sampah-sampah di perairan dan jenis plastik.
Beliau turut mengongsikan mengenai perkembangan penghasilan ASEAN Natural Capital Roadmap yang bertujuan untuk menguatkan kerjasama antara pelbagai sektor dalam mengintegrasikan nilai sumber semula jadi ke dalam program dan dasar kebangsaan dan serantau.
Yang Berhormat Dato juga berkongsi mengenai Inisiatif Hijau ASEAN (AGI) yang menyasarkan penanaman 10 juta pokok di seluruh rantau ASEAN bagi tempoh 10 tahun bermula 2021, yang mana ia juga merupakan sumbangan ASEAN kepada inisiatif Dekad Pemulihan Ekosistem PBB serta Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) dan Pelan Implementasi yang telah mengenal pasti usaha mengintegrasikan kepelbagaian-bio ke dalam kesemua sektor sebagai salah satu keutamaan ke arah mencapai masa hadapan yang mampan dan berdaya tahan.
Beliau juga berkongsi mengenai pelancaran Pelan Tindakan Serantau ASEAN bagi Menangani Sisa Marin dalam kalangan negara Anggota ASEAN (2021-2025) yang mengandungi 14 tindakan serantau yang berdasarkan kepada empat aspek utama iaitu sokongan dan perancangan dasar, penyelidikan, inovasi dan pembangunan kapasiti, kesedaran awam dan pendidikan serta penglibatan sektor swasta.
Kajian kebolehlaksanaan mengenai pembentukan satu rangka kerja dan platform di peringkat serantau bagi ekonomi kitaran.
Yang Berhomat Dato juga mengongsikan keutamaan-keutamaan dan deliverables Negara Brunei Darussalam selaku pengerusi ASEAN pada tahun ini adalah di bawah tema We Care, We Prepare, We Prosper, yang menumpukan ke arah memanfaatkan sifat keprihatinan rakyat di rantau ini, mempersiapkan ASEAN untuk masa hadapan, dan memastikan kesejahteraan yang mampan dan rantau yang berdaya tahan.
Mesyuarat Menteri Alam Sekitar G20 juga telah menerima pakai G20 Environment Communiqué.