Bincang kaitan covid-19 dengan perdagangan hidupan liar

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Majlis Mesyuarat Negara, hari ini, telah mengikuti mesyuarat dalam talian anjuran Sekretariat Perhimpunan antara Parlimen ASEAN (AIPA) dan International Conservation Caucus Foundation (ICCF) bagi membincangkan kolerasi antara COVID-19 dan perdagangan hidupan liar.

Mesyuarat tersebut berlangsung di Bilik Komiti 3, Bangunan Dewan Majlis pada jam 9:30 pagi dan dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari dan dua orang pegawai dari Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat.

Hadir sama ialah Jurutulis Majlis-majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, objektif utama mesyuarat berkenaan ialah bagi membincangkan hubung kait antara isu akibat perdagangan hidupan liar yang menyebabkan risiko penularan wabak COVID-19 (zoonotic disease) yang menjejaskan kesihatan awam sedunia.

Turut dibincangkan ialah persediaan setiap negara ASEAN dalam memberi respons kepada isu perdagangan hidupan liar yang menyebabkan penularan wabak COVID-19 serta mengurangkan risiko penularan pandemik yang sama pada masa akan datang.

Mesyuarat telah dimulai dengan ucapan alu-aluan daripada Setiausaha Agung AIPA Sekretariat, Nguyen Tuong Van dan seterusnya diikuti dengan ucapan pembukaan daripada
ahli Tetap Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Perhimpunan Kebangsaan Vietnam, Nguyen Tuan Anh.

Kenyataan menyatakan, antara agenda utama mesyuarat ialah keterangan dan taklimat daripada beberapa orang ahli panel.

Turut disentuh pada mesyuarat tersebut adalah peningkatan statistik kes perdagangan
hidupan liar dan hubung kaitnya terhadap penularan pandemik yang disebabkan oleh patogen yang terdapat dalam badan hidupan liar yang tidak sepatutnya didedahkan kepada sistem imunisasi manusia.

Yang Berhormat Dayang Khairunnisa telah memberikan kenyataan tentang kurangnya undang-undang tegas yang dikenakan terhadap consumer hidupan liar di negara ASEAN dan menyebabkan peningkatan kegiatan perdagangan hidupan liar.

Yang Berhormat Dayang Khairunnisa ketika mesyuarat dalam talian anjuran AIPA dan ICCF, kelmarin. – Gambar serahan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat