Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 FEB – Presiden Persatuan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam (FABD), Feisal Eusoff mengadakan perbincangan dan berkongsi pandangan dengan rakan-rakan sejawat dalam Pertubuhan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) semasa berada di Doha, Qatar, baru-baru ini.
Beliau hadir sebagai jemputan rasmi daripada AFC sempena perlawanan peringkat akhir kejohanan Piala Asia AFC Qatar 2023.
Presiden FABD berkesempatan mengadakan perjumpaan bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), Kozo Tashima di Stadium Ahmad bin Ali sebelum menyaksikan perlawanan peringkat separuh akhir antara Jordan dan Republik Korea.
Sementara itu, Presiden FABD juga mengadakan perbincangan dan berkongsi idea bersama perwakilan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) yang berpangkalan di Qatar, Lavin Vignesh J.
Semasa perjumpaan itu, beliau telah berkongsi maklumat mengenai perkembangan bola sepak di Negara Brunei Darussalam dan berbincang mengenai program-program FABD, peruntukan, prasarana di samping kejohanan bola sepak peringkat akar umbi dan bola sepak wanita.
Perjumpaan yang berlangsung di Ibu Pejabat FIFA Qatar itu turut disertai oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif FABD, Pengiran Jamilah binti Pengiran Haji Zainin dan Dayang Juliyani binti Haji Mohammad.
Sementara itu, Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Qatar, Tuan Yang Terutama Haji Mohamed Bahrin bin Dato Paduka Haji Abu Bakar telah menerima kunjungan Feisal Eusoff di Pejabat Kedutaan berkenaan di Doha, Qatar.
Semasa perjumpaan tersebut, presiden telah memberikan maklumat mengenai perkembangan FABD dan situasi bola sepak di Negara Brunei Darussalam.
Presiden juga menyampaikan hasrat bagi memohon kerjasama pihak Kedutaan Brunei Darussalam dalam menyokong hasrat FABD dalam mengembangluaskn kerjasama di antara FABD dan Qatar.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/02/P22-2B-GAMBAR-SERAHAN-FABD_12022024.jpg)