Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang kemajuan Pelan Tindakan ASEAN

    Oleh Rafidah Jumat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar telah mengetuai delegasi Brunei Darussalam ke Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-35 yang berlangsung selama tiga hari hingga hari ini di Manila.

    Mesyuarat tahunan yang bertemakan ‘Komuniti Satu ASEAN melalui Tenaga yang Berdaya Tahan dan Mampan’ itu dipengerusikan oleh Setiausaha Tenaga Filipina, Alfonso G.Cusi bersama Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, S.Iswaran selaku Naib Pengerusi, menurut kenyataan yang dikeluarkan kepada media di sini.

    Mesyuarat lain yang turut dimuatkan sempena AMEM adalah Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN+3 (AMEM+3) ke-14, Mesyuarat Kemuncak Menteri-menteri Tenaga Asia Timur (EAS EMM) ke-11 dan Dialog antara AMEM dan Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (Dialog AMEM-IRENA).

    AMEM ke-35 membincangkan kemajuan Pelan Tindakan ASEAN mengenai Kerjasama Tenaga (APAEC) 2016-2025 Fasa 1: 2016-2020 yang melibatkan strategi di tujuh bidang program iaitu Grid Tenaga ASEAN; saluran paip gas Trans-ASEAN; teknologi arang batu dan teknologi arang batu bersih; kecekapan dan pemuliharaan tenaga; tenaga yang boleh diperbaharui; dasar dan perancangan tenaga serantau dan tenaga nuklear. APAEC ditubuhkan untuk kepentingan tenaga sebagai pemboleh dalam merealisasikan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan visi ASEAN 2025.

    Dalam EAS EMM ke-11, Brunei berpeluang untuk membuat laporan kepada menteri-menteri tenaga EAS mengenai perkembangan aliran kerja penjanaan tenaga alternatif dan boleh diperbaharui di bawah pasukan petugas kerjasama tenaga EAS, yang dipengerusikan bersama oleh Brunei dan Amerika Syarikat. Aliran kerja RAPG telah menamatkan program kerja empat tahunnya dan pada mesyuarat itu telah diperkenalkan dengan pelan kerja baru untuk tempoh dua tahun, dengan memberi tumpuan kepada Suria PV terapung dan penyimpanan teknologi dan suria inovatif.

    Yang Berhormat Pehin Haji Mohd Yasmin bersama menteri-menteri ASEAN lainnya bergambar ramai pada mesyuarat tersebut.

    Dialog AMEM-IRENA pertama pula antara lain membincangkan mengenai potensi kerjasama antara IRENA dan Brunei bagi menyediakan kepakaran dalam pengurusan projek tenaga boleh diperbaharui di Brunei.

    ASEAN juga bersetuju untuk menandatangani memorandum persefahaman dengan IRENA untuk membentuk kerjasama jangka panjang.

    Mesyuarat turut menyaksikan pelancaran Outlook Tenaga ASEAN ke-5, yang diterbitkan oleh Pusat Tenaga ASEAN, yang mana laporan meramalkan bahawa bekalan tenaga utama ASEAN akan meningkat sebanyak 3.9 peratus setahun dengan minyak kekal sebagai bahan api terbesar dan arang batu sebagai sektor utama bagi sektor tenaga menjelang 2025.

    Kemuncak mesyuarat termasuk persetujuan antara para menteri mengenai kepentingan tenaga boleh diperbaharui dengan LNG sebagai masa depan bahan mentah yang boleh membantu mencapai masa depan yang mampan.

    Industri tenaga boleh diperbaharui ini memerlukan penyelesaian inovatif, pasaran kompetitif, persekitaran yang kondusif untuk pelaburan serta komitmen padu daripada semua ahli.

    AMEM ke-36 dan mesyuarat berkaitan yang seterusnya akan diadakan di Singapura pada Oktober 2018.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda