Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Setiausaha Tetap (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin, menghadiri Mesyuarat High-Level Task Force bagi Integrasi Ekonomi ASEAN (HLTF-EI) ke-39 menerusi sidang maya, kelmarin, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura, Gabriel Lim turut dihadiri para pegawai kanan terdiri daripada setiausaha-setiausaha tetap negara-negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEAN.
Mesyuarat telah membincangkan kemajuan pelaksanaan Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) dan perkembangan mengenai Laporan Akhir bagi Kajian Jangka Masa Pertengahan (MTR) terhadap Rangka Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 dan Visi pasca-2025 ASEAN.
Mesyuarat juga membincangkan mengenai cadangan 10 Priority Economic Deliverables (PEDs) bagi Pengerusi ASEAN Negara Brunei Darussalam 2021 di bawah tema We Care, We Prepare, We Prosper dan yang terbahagi kepada tiga teras strategik, iaitu pemulihan, pendigitalan dan kemapanan.
Mesyuarat itu turut membincangkan mengenai Circular Economy dan juga perkembangan mengenai strategi Industri Revolusi Keempat.
Kenyataan menyatakan Mesyuarat HLTF-EI berperanan memberi nasihat dan cadangan-cadangan strategik yang berkaitan dengan pembangunan AEC, antara lainnya adalah bagi memberikan panduan strategik dalam melakar arah tuju ASEAN ke hadapan dan mendalami integrasi ekonomi ASEAN serta penglibatan ASEAN dalam komuniti global.
