Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Bincang kerjasama dalam pelbagai bidang

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, baru-baru ini telah mengadakan kunjungan hormat kepada Fadhilat Al-Imam Al-Akbar Sheikh Al-Azhar, Ustaz Dr Ahmad At-Tayyib di Pejabat Sheikh Al-Azhar, Kaherah, Republik Arab Mesir.

    Dalam pertemuan itu, Rektor UNISSA menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama dua hala antara UNISSA dan Universiti Al-Azhar dalam pelbagai bidang kepada Sheikh Al-Azhar, selain menghargai segala sumbangan dan kerjasama erat yang telah diberikan oleh pihak Al-Azhar terhadap kemajuan dan perkembangan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam.

    Perbincangan juga memfokuskan kerjasama dalam bidang akademik bagi penghantaran beberapa orang tenaga akademik berjawatan profesor dalam bidang Bahasa Arab, Syariah dan hadis dari pihak Universiti Al-Azhar ke UNISSA secara pinjaman kontrak dalam memenuhi keperluan akademik UNISSA sebagai usaha melahirkan ulama yang berwibawa.

    Sementara itu, Fadhilat Al-Sheikh Al-Azhar dalam ucapannya menyambut baik kehadiran Dr Haji Norarfan dan rombongan serta menzahirkan rasa mahabbah yang erat dan kecintaan beliau terhadap Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Fadhilat Al-Sheikh juga menyatakan kesediaan Al-Azhar untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang yang lebih luas lagi termasuk melatih guru-guru dalam usaha memperkukuh dan meningkatkan kemajuan syiar Islam di negara ini.

    Turut menyertai Rektor UNISSA dalam kunjungan hormat tersebut ialah Dekan Fakulti Usuluddin UNISSA, Profesor Dato’ Dr Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti, yang juga Pengerusi Pertubuhan Antarabangsa Alumni Al-Azhar Cawangan Malaysia dan Penolong Rektor (Akademik) UNISSA, Profesor Madya Dr Siti Sara binti Haji Ahmad.

    Semasa berada di Kaherah, Republik Arab Mesir, Dr Haji Norarfan berkesempatan membuat lawatan kerja dan perbincangan dengan Presiden Universiti Al-Azhar, Profesor Dr Salamah Daoud, Pertubuhan Antarabangsa Alumni Universiti Al-Azhar, Pertubuhan Universiti-universiti Islam Sedunia, Majma Buhuth Islam, Markaz Tathweer Ma’had Bu’uth Islamiyyah.

    Dr Haji Norarfan, Ustaz Dr Ahmad At-Tayyib serta rombongan bergambar ramai semasa lawatan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN UNISSA
    GAMBAR SERAHAN UNISSA

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...