VLADIVOSTOK, RUSIA, 31 Julai – Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad telah menghadiri International Far Eastern Maritime Show (IFEMS) dan Hari Tentera Laut Rusia bermula 26 hingga 30 Julai lalu atas undangan Panglima Tentera Armada Pasifik Persekutuan Rusia, Laksamana Sergei Avakyants.
Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi dan Laksamana Sergei Avakyants telah mengadakan satu mesyuarat dua hala untuk membincangkan kerjasama angkatan laut di antara Negara Brunei Darussalam dan Rusia.
Pada perbincangan itu, Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi turut mendengarkan taklimat mengenai rancangan dan pembangunan Tentera Laut Rusia, manakala pada kunjungan hormatnya kepada Laksamana Sergei Avakyants, beliau melahirkan penghargaan atas undangan tersebut dan memuji hubungan angkatan laut kedua-dua buah negara yang semakin meningkat. Kedua-dua pihak turut menekankan komitmen bersama untuk terus mempertingkatkan hubungan angkatan tentera laut menerusi interaksi dalam bidang kepentingan bersama melalui landasan dua hala dan pelbagai hala.

Pada kunjungan itu, Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi turut meninjau kapal Corvette Russian Pacific Fleet yang terbaharu, Sovershenniy dan dialu-alukan oleh Pegawai Pemerintah, Kapten Dmitry V. Pashinuk. Beliau turut berkesempatan mengunjungi Muzium Kapal Selam S-56 dan Muzium Sejarah Armada Pasifik Rusia.
Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi turut menghadiri Hari Tentera Laut di Amur Bay, Vladivostok yang mempamerkan perarakan kapal tentera laut disertai 40 buah kapal perang, bot, kapal selam dan kapal sokongan serta pameran lebih daripada 20 unit alat perkakasan ketenteraan pasukan pertahanan pesisiran pantai, disertai lebih 1,500 anggota Armada Pasifik.
Pemerintah TLDB dan delegasi turut menyaksikan acara IFEMS yang merupakan acara terbesar industri pembinaan kapal disertai lebih 1,500 peserta dari seluruh Rusia dan luar negara. Lawatan merupakan kunjungan pertama Pemerintah TLDB ke Rusia yang menggariskan hubungan persahabatan yang mesra antara kedua-dua buah negara dan angkatan lautnya.