Saturday, December 7, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang kerjasama

    Oleh Syahmi Hassan

    Gambar oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Negara Brunei Darussalam dan Jepun mempunyai hubungan dua hala yang baik dan usaha memperkukuh dan memperkuatkan lagi kerjasama tersebut dibincangkan lebih lanjut dalam Mesyuarat Menteri-menteri Luar Pertama antara kedua-dua buah negara hari ini di Hotel Radisson, di ibu negara.

    Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan Menteri Luar Negeri Jepun, Tuan Yang TerutamaTaro Kono.

    Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Menteri Pertahanan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Pada mesyuarat itu, TYT Taro Kono menekankan kepentingan memperkukuhkan kerjasama dan hubungan dua hala dengan Negara Brunei Darussalam sempena Jepun menjadi negara penyelaras ASEAN dan meraikan ulang tahun ke-45 tahun Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun tahun ini.

    Pada mesyuarat itu juga, kedua-dua menteri membincangkan kerjasama meluas daripada hubungan dua hala yang lebih menumpukan perdagangan gas asli cecair (LNG) dan pelaburan syarikat Jepun dalam bidang tenaga. Antara yang ditumpukan termasuklah kerjasama teknikal bagi membantu usaha Brunei mempelbagaikan ekonomi, pengembangan kerjasama pertukaran pertahanan dan pelancaran semula penerbangan langsung antara Jepun dan Brunei kali pertama semenjak tahun 1998.

    Dari kanan: Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Erywan, TYT Taro Kono dan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai sebelum mesyuarat dua hala yang diadakan di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, kelmarin.

    Kedua-dua menteri juga telah bersetuju bagi mempertingkatkan kerjasama dalam bidang-bidang berkenaan, termasuk keperluan menandatangani kerjasama teknikal dalam satu rundingan.

    Manakala daripada segi Strategi Bebas dan Terbuka Indo-Pasifik yang dipromosikan oleh Jepun bagi Negara Brunei Darussalam dan negara-negara ASEAN, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Erywan menyatakan bahawa ia perlu difahami lebih mendalam.

    Bagi isu Korea Utara pula, kedua-dua menteri bersetuju mengambil pendekatan melalui langkah pelaksanaan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang kini memberi tekanan maksimum ke atas negara itu.

    Kedua-dua menteri turut bertukar-tukar pandangan mengenai topik lain termasuk situasi serantau dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

    Sejurus selepas Mesyuarat Menteri-menteri Luar Pertama itu, TYT Taro Kono meneruskan lawatannya ke Pelabuhan Muara dan mengadakan perjumpaan dengan anggota Angkatan Pertahanan Diri Maritim Jepun (JMSDF) yang menjalani latihan luar dan mengadakan lawatan muhibah ke negara ini.

    Ketika lawatannya, di atas kapal pengangkut DD YAMAGIRI, beliau memberikan kata-kata dorongan kepada kira-kira 550 anggota kru JMSDF, menekankan bahawa mereka mempromosikan aktiviti keamanan dan keselamatan serta kerjasama pertahanan yang bebas dan terbuka bagi semua negara.

    Selain DD YAMAGIRI, terdapat dua buah kapal Jepun lain turut berlabuh di Pelabuhan Muara iaitu DD SAWAGIRI dan TV YAMAYUKI yang mana ketiga-tiga kapal berkenaan berlabuh di Brunei selama empat hari bermula hari ini hingga 14 Februari.

    Krew ketiga-tiga kapal berkenaan menjalani beberapa aktiviti semasa lawatan mereka termasuk interaksi sukan, lawatan kapal dengan pegawai-pegawai Tentera Laut Diraja Brunei serta kerja pembersihan pantai di sekitar Muara.

    Sementara itu, kapal-kapal pertahanan berkenaan telah dibukakan kepada orang ramai bagi melawatnya pada hari ini di mana orang ramai telah berpeluang yang jarang didapati untuk melawat kapal-kapal pertahanan JMSDF tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda