Sunday, February 9, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang keselamatan, kukuh kerjasama

    SINGAPURA, 2 Nov – Dialog Dasar Pertahanan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura ke-6 telah berlangsung kelmarin di Temasek Club, di sini.

    Dialog tersebut dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Pertahanan, Kapten (B) Dato Paduka Abdul Rahman bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, TLDB, dan Setiausaha Tetap (Pertahanan), Kementerian Pertahanan, Singapura, Chan Yeng Kit.

    Dialog tersebut juga dihadiri oleh pegawai-pegawai tentera dan awam dari kedua-dua negara. Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan, hari ini, kedua-dua pengerusi berpuas hati atas hubungan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura yang baik dan telah terjalin sejak sekian lama.

    Kedua-dua belah pihak telah membincangkan hal-ehwal keselamatan di rantau ini dan juga menyatakan komitmen dalam memperkukuhkan kerjasama dua-hala. Selain itu, mereka turut membincangkan kerjasama di landasan Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM), memandangkan Singapura akan menjadi pengerusi bagi ADMM pada tahun depan.

    Menurut kenyataan itu lagi, semasa berada di Singapura, Kapten (B) Dato Paduka Abdul Rahman juga telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Ng Eng Hen pada pagi ini.

    Chan Yeng Kit dan Kapten (B) Dato Paduka Abdul Rahman bersama rombongan bergambar ramai ketika Dialog Dasar Pertahanan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura ke-6 di Temasek Club.

    Dalam kunjungan hormat tersebut, kedua-dua belah pihak menyatakan kepuasan terhadap hubungan baik di antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura serta mengalu-alukan aktiviti kerjasama pertahanan dan tentera di antara kedua-dua negara.

    Pada kali ini, Kapten (B) Dato Paduka Abdul Rahman juga telah mengadakan lawatan ke Pangkalan Laut Changi.

    Rombongan Negara Brunei Darussalam yang menyertai dialog tersebut terdiri daripada Ketua Staf Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kolonel Haji Abdul Hadi bin Haji Saim; Pemangku Pengarah Dasar Pertahanan, Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud; Penasihat Pertahanan Negara Brunei Darussalam di Singapura, Leftenan Kolonel (U) Abu Husin bin Sahat dan seorang pegawai dari Jabatanarah Dasar Pertahanan.

    Dimulakan pada tahun 2009, Dialog Dasar Pertahanan ini berfungsi sebagai forum bagi kedua-dua buah negara untuk mengadakan perbincangan dan menerokai bidang kerjasama pertahanan yang baru. Dialog juga memberi peluang bagi kedua-dua belah pihak untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu keselamatan kepentingan bersama.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda