Wednesday, November 6, 2024
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang keseragaman piawaian halal

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Perwakilan Negara Brunei Darussalam daripada Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang diketuai oleh Pengarah Hal Ehwal Syariah, Haji Suhaimi bin Haji Gemok telah menyertai Mesyuarat Kumpulan Kerja ASEAN mengenai Makanan Halal (AWGHF) kali ke-20.

    Pada tahun ini, mesyuarat dipengerusikan oleh negara Malaysia secara maya melalui Persidangan Video Khas bertempat di Bilik Mesyuarat, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Bangunan KHEU (Lama).

    Antara yang hadir ke persidangan video khas mesyuarat berkenaan ialah pegawai-pegawai daripada Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei, Jabatan Pertanian dan Pemakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Autoriti Makanan Brunei Darussalam dan Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, KHEU.

    Kumpulan Kerja ASEAN mengenai Makanan Halal telah ditubuhkan bagi memudah cara keseragaman piawaian halal terutamanya di serantau ASEAN dengan tujuan memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap produk dan perkhidmatan halal yang boleh dipercayai dan terjamin, serta memastikan ketersediaan produk halal bagi penduduk Islam di rantau ini.

    Mesyuarat tersebut telah membincangkan mengenai perkembangan pelaksanaan pelan-pelan tindakan bagi kerjasama ASEAN dalam makanan halal.

    Perbincangan antaranya mem-fokuskan mengenai perkara-perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat-mesyuarat Peringkat Atasan ASEAN, mengemas kini kerjasama halal serantau di bawah MABIMS, BIMP-EAGA dan IMT-GT, perkembangan dalam pelaksanaan pelan tindakan bagi kerjasama ASEAN dalam makanan halal (2021-2025) dan garis panduan umum ASEAN mengenai makanan halal.

    Antara peserta yang menghadiri Mesyuarat Kumpulan Kerja ASEAN mengenai Makanan Halal (AWGHF) kali ke-20. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda