Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Isu-isu dan trend yang berkaitan dengan transformasi digital, Asia digital serta kepercayaan dalam era digital antara yang dibincangkan dalam Sidang Kemuncak Negara Pintar yang menjadi acara penting bagi Minggu Inovasi Negara Pintar yang berlangsung di Singapura pada 24 hingga 28 Jun.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, hari ini, acara itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong, dan dihadiri oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammd Yusof.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi, Sekuriti Siber, Strategi dan Korporat), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim serta para pegawai dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta AITI.
Menurut kenyataan itu lagi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bersama-sama menteri-menteri lain serta pemimpin-pemimpin industri turut menghadiri Forum Straits Digital Exchange di mana sesi tertutup itu merupakan forum perbincangan interaktif para pemimpin industri dan menteri-menteri dengan bertukar-tukar pandangan berhubung isu-isu dasar utama dan peranan yang harus dimainkan oleh kerajaan serta industri dalam mempercepatkan ekonomi digital iaitu membina kesiapsiagaan digital.
Kenyataan menjelaskan bahawa forum itu juga membincangkan dan berkongsi amalan terbaik, cabaran dan kisah kejayaan dalam bidang-bidang transformasi digital bagi perniagaan dan industri, pemerkasaan pekerja serta pembangunan masyarakat digital.
Ia juga termasuk mempersiapkan keupayaan dari segi memberikan kemahiran kepada tenaga kerja serta menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menyelesaikan masalah, membantu penggubal dasar serta meningkatkan kualiti kehidupan kita.
Inisiatif negara pintar dan kesiapsiagaan negara bagi Revolusi Industri ke-4 merupakan isu-isu relevan utama dalam konteks Negara Brunei Darussalam.
