Friday, September 20, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang keterangkuman wanita

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) Negara Brunei Darussalam, kelmarin, telah mengadakan Luncheon on Women and Sustainable Inclusion yang berlangsung di Dewan Indera Samudra, The Empire Hotel.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ABAC Negara Brunei Darussalam, majlis berkenaan merupakan sebahagian daripada Mesyuarat ABAC selama empat hari, yang membincangkan mengenai bagaimana pemerkasaan dan kemasukan wanita dalam masyarakat boleh memberi manfaat kepada sesebuah negara.

    Pengerusi Pasukan Petugas Kemasukan ABAC, Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii juga selaku Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat LVK, dalam ucapannya antara lain menekankan kepentingan manfaat ekonomi bagi penyertaan wanita dalam inisiatif pembangunan mampan dan keterangkuman, yang kekal di barisan hadapan tugas ABAC, termasuk dalam pelbagai bidang, seperti inovasi digital, pertumbuhan mampan dan integrasi ekonomi.

    Beliau seterusnya menyentuh bahawa perlu ada usaha padu antara komuniti perniagaan dan kerajaan untuk mencipta dan mengembangkan peluang ekonomi.

    Ahli-ahli panel terdiri daripada golongan pemimpin wanita tempatan dalam pelbagai sektor yang dipengerusikan oleh Pengasas Bersama OVO dan ahli ABAC New Zealand, Rachel Taulelei.

    Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib, kesedaran dan pendidikan di rumah, dalam komuniti dan organisasi termasuk dengan pelanggan adalah penting. Semua orang perlu memainkan peranan untuk menjadi mampan dan menjadi inklusif.

    Manakala itu, Pembikin Filem, Dayang Siti Kamaluddin ketika menjawab soalan yang diajukan oleh penonton antara lain menjelaskan bahagian paling penting dalam bercerita adalah untuk memahami penonton. Khalayak yang berbeza memerlukan jenis penceritaan yang berbeza.

    Pengasas Bersama Eco Ponies Garden, Eyon Ukoi pula berkongsi kepentingan bekerja dengan kumpulan yang berbeza dalam komuniti termasuk warga tua yang telah bersara, yang sekali gus menjelaskan bahawa bersara bermakna satu babak yang berbeza dalam hidup, bukannya berhenti untuk menjadi aktif.

    Mesyuarat ABAC berkenaan dianjurkan sebagai sebahagian daripada Program Ekonomi Brunei yang dihoskan oleh Majlis Penasihat Perniagaan (BAC) ASEAN dan APEC Brunei dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta Darussalam Assets, Brunei LNG, Bank Baiduri, Hengyi Industries, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Brunei Gas Carriers, Syarikat Minyak Brunei Shell, Huawei, Mitsubishi, Total Energies, imagine, Brunei Fertiliser Industries, Syarikat Methanol Brunei, Darussalam Enterprise, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei, Radio Televisyen Brunei, Borneo Bulletin dan Media Permata.

    Ahli-ahli panel mendengarkan daripada Rachel Taulelei semasa majlis berkenaan. – Gambar serahan ABAC Negara Brunei Darussalam
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda